26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Rakyat Malaysia dilarang ke negara Afrika bermula esok

Berikutan penemuan varian baharu COVID-19 iaitu B.1.1.529 yang spike proteinnya dua kali ganda lebih banyak berbanding varian delta

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

RAKYAT Malaysia tidak dibenarkan melawat negara-negara Afrika mulai esok berikutan penemuan varian baharu COVID-19 iaitu B.1.1.529.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, negara-negara terbabit ialah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

Selain itu, beliau berkata, sekatan sementara kepada semua warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke semua negara terbabit turut dilaksanakan.

Menurutnya, bagi warganegara dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara-negara terbabit dibenarkan memasuki negara tetapi dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi serta tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

“Berdasarkan survelan genomik yang dijalankan sehingga hari ini, tiada virus Covid-19 varian baharu B.1.1.529 yang dilaporkan di Malaysia manakala semua sampel akan diambil dari individu yang tiba dari negara-negara tersebut untuk survelan genomic,” katanya hari ini.

Khairy berkata, setakat ini tiga buah negara telah melaporkan kes berkaitan varian baharu tersebut iaitu Afrika Selatan (77 kes), Botswana (empat kes) dan Hong Kong sebanyak dua kes.

Khairy berkata, kes pertama dilaporkan di Botswana pada 11 November lalu manakala Afrika Selatan (14 November) dan Hong Kong (25 November) dengan kes yang dilaporkan di Hong Kong mempunyai sejarah melawat Afrika Selatan.

“Menurut laporan, varian baharu ini mempunyai 32 mutasi spike protein iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian delta. Sehingga kini belum ada maklumat lanjut bagi tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan bagi varian B.1.1.529 ini.

“Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih lagi membuat pemantauan yang rapi mengenai perkembangan yang berkaitan pelaporan varian baharu B.1.1.529.

“Buat masa ini varian baharu ini dikategorikan oleh WHO sebagai Varian Dalam Perhatian (VUM),” katanya.

Khairy berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan mempertingkatkan survelan genomik termasuk ke atas individu yang tiba dari negara yang melaporkan varian baharu tersebut.

“Pemantauan berterusan bagi survelan genomik dijalankan oleh konsortium yang terdiri daripada Kementerian Kesihatan melalui Institut Penyelidikan Perubatan 2 (IMR), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Langkah-langkah pencegahan dan kawalan serta perkembangan mengenai varian baharu B.1.1.529 ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan