USAHA negara beralih ke fasa peralihan endemik terpaksa ditangguhkan seketika berikutan penularan baharu varian baharu Omicron ketika ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan telahpun memutuskan keputusan itu di dalam Mesyuarat Kuartet ke-9 Covid-19 hari ini.
“Ini selepas varian baharu itu dilihat berisiko merebak dengan lebih mudah dan pantas ke dalam tubuh manusia.
“Susulan itu, kerajaan akan mengenakan kawalan sempadan antarabangsa lebih ketat ke atas negara-negara yang melaporkan penyebaran varian Omicron itu,” katanya lapor Kosmo Online.
Beliau berkata, setakat ini, kerajaan ambil maklum bahawa varian itu bukan sahaja menular di Selatan benua Afrika, tetapi juga di beberapa buah negara antaranya Itali, Denmark, Australia, United Kingdom, Belgium dan Hong Kong.
“Susulan penularan varian Omicron, buat masa ini, prosedur operasi standard (SOP) semasa dalam negara untuk negeri-negeri dalam Fasa 3 dan 4 masih kekal,” katanya.
Menurutnya, penangguhan ke fasa endemik itu juga akan dibuat sehingga kerajaan mengetahui lebih lanjut tentang varian Omicron termasuk tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan.-Edisi 9