27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

WHO beri amaran jangan pandang ringan varian Omicron

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran supaya tidak memandang ringan Omicron dengan menganggap varian COVID-19 itu hanya mendatangkan gejala ringan.

Memetik laporan Badan Penyiaran British (BBC) berkata, kajian terbaharu menunjukkan Omicron kurang berisiko menyebabkan jangkitan teruk berbanding varian COVID-19 sebelumnya.

Walau bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, rekod bilangan individu yang telah dijangkiti COVID-19 disebabkan varian Omicron menyebabkan sistem kesihatan negara-negara dunia berada dalam tekanan teruk.

Menurut WHO yang merupakan agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah kes COVID-19 global meningkat sebanyak 71 peratus minggu lalu.

Manakala di Amerika Syarikat pula, angka jangkitan melonjak 100 peratus.

Agensi itu menyatakan bahawa antara bilangan kes jangkitan yang teruk di seluruh dunia, 90 peratus daripadanya melibatkan individu tidak divaksin.

“Walaupun Omicron kelihatan kurang teruk berbanding varian Delta terutamanya bagi mereka yang sudah divaksinasi, tidak bermakna varian itu harus dikategorikan sebagai ringan.

“Sama seperti varian sebelumnya, Omicron menyebabkan pesakit dimasukkan ke hospital dan mengorbankan nyawa,” katanya.

Omicron menular dengan amat pantas dan boleh menjangkiti seseorang walaupun mereka telah lengkap divaksin.

Bagaimanapun, vaksin masih penting kerana ia membantu melindungi daripada penyakit teruk dan kemasukan ke hospital.

Dalam pada itu, Tedros mengulangi gesaannya untuk edaran vaksin yang lebih besar bagi membantu negara-negara miskin memberikan suntikan pelalian COVID -19 kepada penduduk masing-masing.

Menurut beliau, berdasarkan agihan vaksin semasa, sebanyak 109 buah negara akan terlepas daripada sasaran WHO untuk menjadikan 70 peratus populasi dunia sudah mendapat vaksinasi lengkap menjelang Julai tahun ini.

Tahun lalu, ketua WHO itu berkata, dunia akan mempunyai dos vaksin yang mencukupi pada tahun ini untuk diberikan kepada seluruh populasi dewasa global sekiranya negara-negara Barat tidak membolot vaksin untuk digunakan dalam program dos penggalak. – Agensi

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan