31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kerajaan perlu segera tangani peningkatan harga makanan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN digesa segera menangani isu membabitkan peningkatan harga makanan termasuklah harga sayur yang meningkat mendadak lebih dua kali ganda dengan segera.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, oemantauan harga mesti dilaksanakan dengan agresif.

“Jangan biarkan apa jua bentuk memanipulasi harga pasaran berlaku. Perkasakan sistem maklumat pasaran untuk makanan dan bangunkan kesedaran pengguna untuk memantau harga pasaran.

“Sekali lagi saya sarankan pengenalan kupon atau voucher makanan bagi membolehkan akses kepada makanan berkhasiat bagi keluarga yang paling terkesan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Tambah Mohamad lagi, kapasiti pengeluaran makanan negara mesti setanding dengan negara pertanian serantau di ASEAN.

Kini menurutnya, pengeluaran sumber makanan negara masih bergerak pada kadar perlahan disebabkan penggunaan teknologi rendah, cabaran kawalan penyakit, perubahan cuaca, dan kerugian lepas-tuai yang tinggi.

“Inovasi dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) untuk membina ketahanan terhadap faktor cuaca yang tidak menentu serta perubahan pasaran adalah pelaburan penting bagi memastikan sekuriti makanan negara akan lebih lestari dan terjamin,” katanya.

Mohamad juga menyarankan keperluan untuk membangunkan semula sektor agro-makanan yang telah lama dipinggirkan disebabkan penekanan kepada sektor perindustrian mulai tahun 1980an.

Menurutnya, rakyat terus terbeban dengan harga sayur yang naik mendadak melebihi dua kali ganda.

“Kenaikan ini menyusul selepas kenaikan harga ayam dan telur yang secara keseluruhannya memaparkan kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun.

“Saya faham bahawa fenomena kenaikan harga adalah norma pasaran dan dipengaruhi oleh lebihan permintaan atau penawaran, faktor cuaca serta kos pengangkutan. Namun, kenaikan keterlaluan amat membebankan rakyat, terutamanya yang terhimpit akibat kehilangan mata pencarian,” tegasnya.

Malah beliau juga menyatakan, Malaysia nampaknya mula mengalami masalah ketidakjaminan makanan.

“Isi rumah berpendapatan rendah terdedah kepada kehilangan akses untuk sumber makanan yang mencukupi dan berkhasiat pada harga yang berpatutan.

“Semua ini amat membimbangkan kerana 25 peratus daripada kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kurang berat badan atau tumbesaran terbantut disebabkan tabiat pemakanan yang kurang sihat,” katanya.

Bahkan menurut beliau, senario itu akan menjejaskan potensi pembelajaran serta produktiviti tenaga kerja masa depan.

“Jika dibiarkan, ia akan mengukuhkan kitaran kemiskinan dan ketidaksamaan antara generasi,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan