23.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, January 18, 2022

Iklan pakej umrah tanpa kelulusan tidak dibenarkan – MOTAC

Mana-mana syarikat pengendali umrah mengiklankan pakej tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan boleh didenda tidak melebihi RM50,000

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGENDALI pelancongan berlesen di negara ini tidak dibenarkan mengiklankan sebarang pakej pelancongan termasuk umrah tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi kenyataan yang dikeluarkan berkata, Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) menerusi mesyuarat yang dilaksanakan mahu pihak kementerian menguatkuasakan Peraturan 6(1A) (a), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

“Akta itu menetapkan Pengendali Pelancongan berlesen tidak boleh mengiklankan pakej yang ditawarkan tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan.

Menurut MOTAC, bermula 1 Februari 2022, mana-mana syarikat pengendali umrah yang mengiklankan pakej umrah tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

MOTAC berkata, penguatkuasaan peraturan pengiklanan pakej umrah adalah inisiatif MOTAC untuk mengenal pasti iklan-iklan haram pakej umrah.

“Setiap iklan umrah yang diluluskan akan diberikan Nombor Siri Khas iklan umrah yang perlu dipaparkan di iklan yang akan dipromosikan.

“Borang permohonan iklan ini boleh dimuat turun daripada laman sesawang www.motac.gov.my,” katanya.

Katanya, MKSU yang dipengerusikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri itu turut mendengar pandangan pemain industri mengenai cadangan-cadangan untuk memperkasakan industri umrah selari dengan perkembangan semasa.

Baca juga:   Kapasiti jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 orang

Jelasnya, MOTAC sentiasa mendengar dan meneroka idea-idea baharu supaya kebajikan dan hak orang awam terjaga dalam melaksanakan ibadah umrah.

Mesyuarat pertama kali MKSU itu berlangsung hari ini selepas penangguhan mesyuaratnya kali terakhir pada tahun 2018.

Baca juga:   Sambutan tahun baharu diganti solat hajat, doa selamat - PM

Ia melibatkan wakil-wakil daripada Kementerian Luar Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR), Lembaga Tabung Haji, Polis Diraja Malaysia (PDRM), persatuan-persatuan pengendali umrah dan agensi-agensi lain yang berkaitan.-Edisi 9

Terkini

RFID: PLUS, TNG diarah selesai isu kesesakan di plaza tol

PLUS Malaysia Berhad diarah mencari jalan penyelesaian berhubung isu kesesakan yang berlaku di plaza tol lebuh raya ekoran pelaksanaan...

Lagi Artikel Berkaitan