25.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Harga kit boleh diturunkan, kenapa harga barangan lain tidak?

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Saudara Pengarang

Saya sebagai rakyat marhain dan pengguna mahu merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada kerajaan Keluarga Malaysia khususnya Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Inilah kali pertama dalam hidup saya menyaksikan bagaimana kerajaan Malaysia berjaya menurunkan harga barangan iaitu membabitkan kit ujian kendiri COVID-19. Tahniah!

Masakan tidak, daripada harga RM39.90 yang dijual di pasaran, kerajaan berjaya menekan penjual untuk menjual harga kit tersebut kepada RM19.90 dan kemudiannya kepada RM6.90 dengan serta-merta.

Malahan semalam, menteri berkenaan mengumumkan bahawa kit ujian itu kini dijual sehingga RM4.90 sahaja. Hebat bukan?

Justeru, saya tertanya-tanya formula apa yang dipakai kerajaan khususnya menteri-menteri KPDNHEP dan KKM sehingga berjaya “memaksa” penjual menurunkan harga kit tersebut dalam masa begitu singkat?

Malangnya keadaan itu tidak berlaku kepada barangan keperluan harian lain yang naik dan terus naik dari hari ke hari, dengan 1001 alasan yang kadang kala menyakitkan hati kami selaku rakyat dan pengguna.

Harga barangan pengguna naik mendadak dikatakan kerana permintaan yang meningkat, nanti apabila permintaan sudah terkawal disalahkan cuaca dan musim hujan dan banjir.

Serba salah kami para pengguna. Nanti ada pula apabila harga ayam naik diminta tidak makan ayam supaya permintaan menurun dan harga dapat diturunkan, tetapi tidak turun jugak.

Contohnya harga siling ayam sepatutnya RM6.50 kini sudah mencecah RM9.90 dan tiada sebarang penurunan harga diumumkan walaupun kisah “kenaikan harga makanan ayam” sudah tidak kedengaran.

Advertisements

Jadi kami mahu bertanya kepada menteri berkenaan, jika mereka berjaya memaksa peniaga menurunkan harga kit ujian COVID-19 kerana permintaan yang tinggi, kenapa tindakan sama tidak dilakukan untuk barangan keperluan lain?

Atau apakah sememangnya ada tangan-tangan tertentu yang memainkan peranan di sebalik kenaikan harga barangan ini seperti mana saya dengar cakap-cakap orang sebelum ini?

Jika benar, amatlah malang bagi kami pengguna dan rakyat Malaysia.

Semasa berkempen untuk mendapatkan undi kami, bukan main lagi “rakyat diutamakan” tetapi selepas dapat kuasa, kenaikan harga barang ‘tidak dapat dielakkan” lantaran kerana terpaksa patuh kehendak pengeluar, pembekal dan pemborong.

Saya sekali lagi berharap agar kerajaan dapat mengambil tindakan segera terhadap kenaikan harga barang yang semakin melampau hari ini. Jangan kami dibebankan hanya kerana untuk ‘keuntungan’ tauke-tauke.

Jangan fikir apabila kita sedang memasuki endemik daripada COVID-19, kami rakyat marhain tiba-tiba menjadi golongan kluster kayangan setanding pak-pak menteri atau para politikus yang rakus.

Dan jangan fikir dengan pemberian bantuan Keluarga Malaysia oleh kerajaan yang sekali-sekala datang, kami rakyat marhain sudah dapat hidup senang-lenang.

Percayalah, kami akan terus begini kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu dapat makan walaupun kerajaan dan perdana menteri silih berganti.

PENGGUNA KESAL
Gombak, Selangor

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan