SEBUAH resort mewah lima bintang di Langkawi, Kedah mengambil langkah menutup sementara operasi selama 10 hari bermula hari ini berikutan 16 pekerjanya disahkan positif jangkitan COVID-19.
The Datai Langkawi menerusi laman sesawang rasminya memaklumkan, kes positif itu dikesan ketika saringan berkala yang dilakukan secara rawak dalam kalangan pekerja mereka.
Menurut pengurusan resort tersebut, pekerja yang didapati positif COVID-19 sudah pun diasingkan bagi menjalani kuarantin.
“Kami telah mengambil langkah untuk mengesan kontak rapat, dan mendapati ada kes positif turut dikesan menyebabkan protokol kuarantin diaktifkan oleh pihak pengurusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Laman sesawang itu berkata, selain menutup operasi premis, pihak perhotelan turut melakukan sanitasi menyeluruh sejajar dengan keperluan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan keselamatan pengunjung.

“Pihak hotel memohon maaf kepada pengunjung yang terjejas disebabkan penutupan tersebut.
“Pengunjung yang telah membuat tempahan akan dihubungi dengan kadar segera dan diberi pilihan sama ada membuat pertukaran tarikh atau pembatalan secara percuma tanpa sebarang penalti dikenakan,” katanya.
Sebelum ini Langkawi telah dipilih perintis untuk pelaksanaan Program Gelembung Pelancongan Antarabangsa di negara ini sejak 15 November lalu.
Sehubungan itu, dianggarkan lebih 5,000 pelancong asing dijangka memasuki pulau peranginan tersebut sehingga hujung tahun ini.
Sejak pandemik COVID-19 melanda pada awal tahun lalu, industri pelancongan negara lumpuh dan Langkawi antara pusat pelancongan yang paling teruk terjejas.
Bagaimanapun, pulau itu dipilih untuk menjadi perintis program Gelembung Pelancongan Domestik susulan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang mencapai 80 peratus di seluruh negara sejak bulan lalu. – Edisi 9