25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Berkempenlah secara berhemah, bukan tabur fitnah

Semua parti utama sudah pernah menjadi kerajaan manakala pengundi telah menilai setiap baik dan buruk parti-parti berkenaan

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh AZIZI SALIM

PERTEMBUNGAN sekurang-kurangnya tiga penjuru melibatkan gabungan parti utama di negara ini tidak dapat dielak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ini setelah Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan senarai calon yang akan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bak kata Najib Razak, PRN Melaka adalah ‘pintu masuk’ Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan akan menjadi penanda aras bagi kesemua parti mengharungi pilihan raya peringkat nasional yang dijangka pertengahan tahun depan.

Apa yang menarik, pertembungan antara parti dalam PRN Melaka ini adalah pertandingan sesama kawan. BN dan PN adalah rakan sekutu di peringkat Persekutuan, manakala PH pula sudah menandatangani persefahaman.

UMNO dan Pas pula, walaupun bertanding atas parti gabungan berbeza, merupakan rakan dalam Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai sejak 2019 lalu.

Biarpun MN bagai suam-suam kuku sejak Pas bersama Bersatu membentuk parti PN, namun kedua-dua pihak masih mahu mempertahankan hubungan tersebut.

Bersatu pula, walaupun kini sudah meninggalkan PH tetapi parti itu pernah bergabung dalam PH untuk menumbangkan BN yang diketuai UMNO.

Lebih menarik lagi, baik PH mahupun PN apatah lagi BN masing-masing pernah menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Itulah senario politik pasca PRU-14 di Malaysia yang kini ditadbir oleh gabungan beberapa parti politik yang sebelum ini saling berseteru. Menarik bukan?

Kini rakyat Malaysia termasuk di Melaka sudah dapat merasai ‘nikmat dan laknat’ berada di bawah kerajaan kesemua gabungan dan parti politik utama yang ada.

Kita pernah berada di bawah kerajaan BN selama enam dekad, bersama PH 22 bulan dan di bawah kerajaan PN untuk tempoh 17 bulan.

Menggunakan strategi perang lama iaitu dengan adu-domba, fitnah dan bohong atau menghasut tidak lagi mapan oleh para pengundi, termasuk di Melaka.

Ini kerana setiap parti tidak boleh menyalahkan antara satu sama lain, memburuk-burukkan lawan kerana masing-masing sudah pernah menjadi kerajaan dan baik-buruk pentadbiran mereka sudah dinilai oleh rakyat.

Justeru, berkempen secara berhemah dengan memberikan tawaran terbaik untuk rakyat (bukannya janji bulan bintang yang tidak berpijak di bumi nyata) adalah lebih.

Pada masa yang sama, calon-calon juga bakal menjadi penentu kemenangan parti.

Mana-mana calon yang tidak pernah muncul di kawasan yang ditandingi sebelum ini, atau sekadar datang secara bermusim sudah tentu ditolak oleh rakyat.

Apatah lagi majoriti kawasan di Melaka terdiri daripada pengundi Melayu di luar atau pinggir bandar, yang sudah tentu membuat penilaian kepada calon, bukannya parti.

Calon terbaik akan dipilih rakyat, tanpa mengira daripada parti mana.

Penulis percaya serangan peribadi akan digunakan oleh setiap parti yang bertanding untuk melemahkan lawan dan mempengaruhi pengundi.

Justeru elakkanlah daripada memfitnah kerana sejarah telah membuktikan kemenangan hasil memfitnah tidak akan ke mana.

Apatah lagi apabila keputusan tidak berpihak kepada mana-mana parti untuk membentuk kerajaan secara mutlak.

Nak tak nak parti-parti tersebut terpaksa berpakat untuk membentuk kerajaan negeri.

Pada masa itu, takkan kita nak menjilat ludah menagih sokongan lawan untuk mentadbir negeri secara bersama.

Jangan-jangan. Itu cara politik lama. Politik sebelum PRU-14. Sekarang ini segalanya sudah berubah dan semua parti politik perlu matang dalam meraih sokongan pengundi.

  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan