MAJLIS akad nikah di Pulau Pinang dibenarkan berlangsung di premis persendirian atau masjid secara bersemuka tanpa sentuhan berkuat kuasa semalam.
Ketetapan itu dimaklumkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menerusi kenyataan hari ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Zakuan Zakaria berkata, majlis yang diadakan itu perlulah tidak melebihi 50 minit dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Lokasi akad nikah Islam dibenarkan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), masjid, surau atau premis premis persendirian dengan syarat mendapat kebenaran dengan jumlah kehadiran tetamu mengikut ketetapan pihak JHEAIPP.
“Tidak dibenarkan sebarang upacara seperti upacara membatalkan sembahyang, sarung cincin, bersalam antara satu majlis lain selepas majlis akad nikah,” katanya.
Menurut beliau, jumlah kehadiran majlis akad nikah adalah lima orang mengikut rukun nikah dan tetamu bagi majlis akad nikah adalah berpandukan kepada SOP Pejabat Agama, masjid dan surau.
“Bagi pasangan pengantin yang tidak boleh hadir ke upacara pernikahan (akad nikah) atas faktor kesihatan, mereka boleh melantik dan mewakilkan kepada seorang wakil untuk menerima nikah bagi pihaknya.
“Jamuan majlis kenduri dan resepsi tidak dibenarkan, bagaimanapun aktiviti fotografi dibenarkan semasa majlis pernikahan tertakluk kepada pematuhan SOP yang telah ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua yang terlibat dengan upacara pernikahan diwajibkan membuat saringan kendiri sebelum akad nikah dilaksanakan.-Edisi 9