32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Petugas kesihatan tersalah suntik picagari kosong diberhentikan

CITF-A memutuskan untuk membenarkan sama ada ibu, bapa atau penjaga untuk menemani remaja mendapatkan vaksinasi sehingga ke stesen vaksinasi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Petugas kesihatan yang tersalah mengambil picagari kosong serta menyuntik seorang remaja 12 tahun telah diberhentikan daripada bertugas memberi vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Universiti Malaya (PPVUM) serta-merta.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, tindakan memberhentikan petugas terbabit dilakukan oleh pihak Healthcare Organisation (HCO) yang dilantik di bawah ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd

Beliau berkata, terdahulu, Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID -19 Remaja (CITF-A) telah meneliti laporan yang diterima dan kerajaan memandang serius insiden seperti ini.

“Sehubungan dengan itu tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan proses vaksinasi dilakukan dengan selamat dan sempurna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, keselamatan dan kesejahteraan penerima vaksin adalah menjadi keutamaan dan semua pengamal perubatan akan terus dipantau untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi CITF-A berkata, pihaknya memahami kegusaran ibu bapa dan bagi mengelakkan keraguan dalam proses vaksinasi remaja, CITF-A memutuskan untuk membenarkan sama ada ibu, bapa atau penjaga, menemani remaja yang mendapatkan vaksinasi sehingga ke stesen vaksinasi untuk melihat sendiri proses yang diberikan.

“Mulai esok, hanya seorang ibu atau bapa atau penjaga boleh menemani remaja di bawah jagaan masuk ke kawasan PPV iaitu Stesen 1: Saringan Suhu dan gejala, Stesen 2: Pendaftaran vaksinasi, Stesen 3: Kebenaran ibu/bapa/penjaga dan konsultasi dan Stesen 4: Pemberian vaksin.

“Selesai proses vaksinasi, ibu atau bapa atau penjaga diminta menunggu di luar bagi memastikan kerusi yang disediakan di kawasan pemerhatian mencukupi untuk remaja yang telah divaksinasi duduk dan diawasi.

Advertisements

“Selepas tamat tempoh pemerhatian 15 hingga 30 minit, remaja akan dikembalikan kepada jagaan ibu atau bapa atau penjaga,”katanya.

Dr. Noor Azmi berkata, individu dewasa yang menemani juga dibenarkan untuk merakam video suntikan ke atas remaja ketika proses vaksinasi dijalankan seperti amalan SOP sebelum ini.

“Petugas kesihatan (penyuntik) perlu menunjukkan picagari vaksin yang diisi dengan sempurna kepada penerima. Semua petugas kesihatan dan sukarelawan yang terlibat diingatkan untuk menjalankan tugasan dengan penuh teliti dan bertanggungjawab,”katanya.

Tambah beliau, pada masa sama kerajaan berterima kasih kepada semua petugas kesihatan dan sukarelawan yang telah menjadi tulang belakang kepada kejayaan program vaksinasi selama ini.

“Kemajuan yang kita capai dalam masa yang singkat ini adalah hasil peluh keringat anda semua dan ini sememangnya amat dihargai semua pihak,” katanya.

Terdahulu, Edisi 9 melaporkan, video tular proses vaksinasi seorang remaja berusia 12 tahun disahkan berlaku di PPVUM selepas seorang petugas kesihatan (penyuntik) tersalah mengambil satu picagari kosong dan membuat suntikan kepada penerima vaksin tersebut.

Dalam kejadian pukul 3.16 petang pada Khamis lalu, siasatan awal ProtectHealth mendapati petugas kesihatan itu tersalah mengambil satu picagari kosong masih belum digunakan dari ruangan meja yang sama dengan picagari berisi vaksin. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan