30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Kematian Guan Dee kehilangan besar negara, PN – Muhyiddin

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMATIAN Ahli Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi dianggap satu kehilangan besar bagi gabungan parti berkenaan serta negara, khususnya bagi negeri Sabah.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Ahli Dewan Negara itu yang juga bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya adalah antara tokoh pengasas ketika penubuhan gabungan berkenaan, selain banyak memberi sumbangan dan bakti kepada negara dan parti.

“Sebentar tadi saya mendapat perkhabaran sedih mengenai pemergian YB Senator Datuk Guan Dee bin Koh Hoi, Ahli Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang meninggal dunia pada pukul 4.50 petang di Hospital Kuala Lumpur.

“Beliau adalah salah seorang tokoh pengasas semasa penubuhan parti Perikatan Nasional, telah banyak memberi sumbangan dan bakti kepada negara dan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, selaku Setiausaha Agung parti STAR Sabah, mendiang cukup dikenali dengan sifat rendah diri dan usaha gigih bagi membina PN tidak hanya di peringkat negeri Sabah tetapi juga di peringkat nasional.

“Pemergian Senator Datuk Guan Dee merupakan kehilangan besar bagi Perikatan Nasional dan seluruh negara khususnya negeri Sabah. Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mendiang dan semoga tabah bagi menghadapi suasana pilu ini,” katanya.

Terdahulu, Guan Dee, 67, dimasukkan ke hospital pada jam 5 pagi oleh pembantunya selepas mengadu sakit di bahagian dada.

Advertisements

Mendiang berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat PN pada petang Ahad lalu namun tidak hadir selepas didapati positif Covid-19.

Sementara itu, Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menyatakan perasaan sedihnya apabila mendengar berita itu dan beliau percaya parti kehilangan seorang pahlawan dan ahli paling berharga.

“Dia adalah rakan sekutu saya yang paling setia dan kawan paling saya sayangi. Dia telah bersama saya melalui susah dan senang walaupun ketika saya tiada apa-apa, dia tidak pernah meninggalkan saya. Sangat sukar untuk menggantikannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jeffrey turut memaklumkan kali terakhir bercakap dengan mendiang pada jam 10 pagi tadi apabila dia menghubunginya dari hospital.

“Dia (mendiang) beritahu, baik-baik saja dan tidak perlu risau. Dia memberi jaminan kepada saya, dia akan keluar (hospital) dalam masa tiga atau empat hari lagi. Ini betul-betul melukakan hati saya,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan