29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pahang negeri ketiga beralih fasa 4 PPN bermula Jumaat ini

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Negeri Pahang menjadi negeri ketiga selepas Labuan dan Negeri Sembilan yang beralih daripada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa 4 PPN bermula Jumaat ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19, hari ini membenarkan peralihan fasa bagi negeri Pahang dan juga negeri Johor daripada Fasa 2 ke Fasa 3.

Menurutnya, peralihan fasa berkenaan dibuat mengikut garis panduan ditetapkan PPN dan selepas mengambil kira penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri yang memasuki Fasa 3 dan 4 sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN di laman sesawang www.mkn.gov.my.

“Beberapa kelonggaran baharu dibenarkan berkuat kuasa 9 Oktober ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, waktu beroperasi pasar borong di Fasa 2 dan Fasa 3 dibenarkan mengikut syarat lesen dan permit pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti mana ditetapkan, dengan syarat pekerja divaksin lengkap dan mematuhi SOP sedia ada.

“Upacara mengikat Thaali di rumah ibadat kuil bagi agama Hindu dan Pernikahan Kudus bagi Kristian dibenarkan dalam tempoh PPN,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Perpaduan akan memaklumkan kepada persatuan agama Hindu dan persatuan agama Kristian berhubung SOP yang perlu dipatuhi.

Tambah beliau lagi, pengoperasian aktiviti lelongan awam bagi barangan sandaran menerusi sektor pajak gadai yang berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dibenarkan dengan beberapa syarat.

“Antara syarat ditetapkan termasuk pekerja dan pembida sudah dilengkapi vaksin dan hanya membabitkan 54 pelelong yang dikenal pasti di seluruh negara, manakala aktiviti terhad 30 minit setiap sesi pada 1 dan 7 haribulan setiap bulan.

“Kapasiti pekerja berdasarkan fasa iaitu untuk Fasa 2 membenarkan 60 peratus kapasiti pekerja dan 50 peratus pembida; Fasa 3, 80 peratus kapasiti pekerja dan 80 peratus pembida, manakala Fasa 4, 100 peratus kapasiti pekerja dan pembida,” katanya.

Menurutnya, sektor tembakau dan rantaiannya dibenar beroperasi di Fasa 2 PPN dan seterusnya.

“Dalam usaha negara #ReopeningSafely, perkara paling penting adalah untuk kita semua tidak cepat berasa selesa dan bersikap sambil lewa.

“Di sebalik semua kelonggaran diumumkan, hakikat yang harus kita hadapi adalah kita semua terpaksa hidup bersama virus COVID-19.

Oleh demikian menurutnya, selain terus mengamalkan SOP, penting untuk semua meningkatkan penilaian kendiri, bukan sahaja demi melindungi diri sendiri tetapi juga masyarakat sekeliling daripada virus COVID-19.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan