CYBERJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengambil kira data yang diperolehi daripada semua Pengarah Tourism Malaysia luar negara untuk dijadikan panduan serta mengenalpasti tahap kesediaan negara bagi menyasarkan pembukaan sektor pelancongan antarabangsa.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, data ini akan membantu Kementerian untuk merangka kempen promosi dan pemasaran bagi membolehkan pelancong luar negara menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan apabila sempadan negara dibuka nanti.
“Informasi ini juga dapat membantu pihak MOTAC dalam merangka mekanisme yang bersesuaian berhubung urusan kemasukan, faktor kesihatan dan keselamatan, imigresen serta sistem penjejakan data.
“Maklumat ini seterusnya akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dipertimbangkan sebelum keputusan membuka semula sempadan negara dibuat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Nancy mengadakan pertemuan secara maya bersama 43 orang Pengarah Tourism Malaysia yang berada di pelbagai negara.
Turut hadir dalam sesi libat urus berkenaan ialah Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat.
Perbincangan juga adalah menjurus kepada potensi pembukaan semula aktiviti pelancongan antarabangsa apabila pintu sempadan negara kembali dibuka kelak.
Sesi libat urus ini juga membincangkan perkara-perkara berkaitan peraturan kesihatan serta amalan terbaik yang dilaksanakan oleh negara luar.
Tambahnya lagi, antara isu yang dikemukakan oleh Pengarah Tourism Malaysia Luar Negara adalah berkaitan tempoh kuarantin semasa ketibaan, pengiktirafan vaksinasi dan SOP yang jelas untuk pelancong luar negara.
“Untuk rekod, industri pelancongan negara terjejas teruk dalam tempoh pandemik ini dengan anggaran kerugian sebanyak RM135 bilion.
“Jumlah ini dijangka meningkat kepada RM165 bilion pada tahun 2021 dan Tourism Malaysia perlu meningkatkan promosi berhubung keunikan Malaysia di persada dunia seiring dengan tumpuan MOTAC terhadap cadangan pembukaan gelembung pelancongan antarabangsa,” jelasnya.
Menurutnya, bagi mencapai sasaran kemasukan 16 juta pelancong antarabangsa dan pendapatan sekurang-kurangnya RM45 bilion pada tahun 2025 semua pihak perlu berganding bahu menjayakannya.
“Promosi dan pemasaran perlulah mengangkat produk pelancongan yang lebih baik terutamanya dalam aspek kelestarian pelancongan itu sendiri.
“Kita perlu bersama-sama berganding bahu dan bekerja sebagai satu pasukan demi mencapai matlamat memulihkan kembali industri ini seiring dengan tagline MOTAC, Coming Back Stronger,” katanya.-Edisi 9