25.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

‘Katak politik’ terus melompat selagi tiada akta – Asyraf

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – ‘Katak-katak politik’ di negara ini akan terus melompat demi kepentingan tertentu selagi akta lompat parti tidak segera digubal, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, tindakan katak-katak politik tersebut menyebabkan situasi politik terus tidak tenteram manakala rakyat pula menjadi mangsa.

“Selagi tiada akta ini, selagi itulah politik negara tidak akan stabil lantaran terus wujud katak-katak politik berkepentingan dan rakus kuasa hingga rakyat menjadi mangsa.

“Tak kiralah lompat keluar atau lompat masuk, bila sudah ada Akta Anti-Lompat Parti, semuanya akan jadi sama. Yang penting jika sudah mendapat mandat rakyat jangan dipermainkan pula mengikut hawa nafsu lantaran sogokan atau ugutan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Asyraf berkata, tindakan melompat parti ini bukan hanya melibatkan satu pihak, iaitu UMNO sahaja tetapi hampir semua parti turut menghadapi keadaan ini.

Sebagai contoh, katanya, sejuru Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan selepas Pillihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), menyaksikan kerajaan Sabah menjadi negeri pertama dijatuhkan angkara ‘katak politik.’

Ini berikutan tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang bertindak meninggalkan parti untuk melompat ke Warisan.

“Kemudian PH juga menghalalkan lompat parti 15 Ahli Parlimen UMNO ke PPBM. Akhirnya, PH jatuh juga kerana PPBM melompat keluar daripada menjadi komponen PH, ditambah beberapa Ahli Parlimen PKR lompat kepada PPBM.

“Putaran roda terus berlaku bak kata pepatah Inggeris What Goes Around Comes Around. Episod jatuh bangun kerajaan kerana lompat melompat terus berlarutan sehingga menyebabkan politik negara tidak akan stabil,” katanya.

Semalam, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali tumbang selepas empat ADUN diketuai bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron bertindak meninggalkan kerajaan yang didukung, untuk bersama-sama PH.

Selain Idris yang merupakan ADUN BN Sungai Udang, tiga lagi ialah Datuk Nor Azman Hassan (BN – Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu – Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pangkalan Batu).

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meminta agar rang undang-undang antilompat parti dibentangkan di Dewan Rakyat dengan secepat mungkin.

Beliau berkata, akta itu perlu diwujudkan dengan segera kerana amalan lompat parti bukan saja tidak adil kepada rakyat, tetapi juga terhadap parti politik yang berbelanja besar bagi perolehan data dan hal lain ketika pilihan raya umum (PRU).

Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bersetuju untuk membentang Rang Undang-undang (RUU) Anti-Lompat Parti di Parlimen sebagai salah satu daripada tujuh tawaran transformasi dan pembaharuan politik di negara ini.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada ketetapan tarikh pembentangan rang undang-undang tersebut. – Edisi 9

Terkini

Rumah terbuka: KPKM jamin bekalan makanan asas mencukupi

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan makanan asas mencukupi sepanjang bulan Syawal ini. KPKM dalam kenyataannya...

Lagi Artikel Berkaitan