25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

115,516 Orang Asli sudah divaksin hanya berbaki 56,639 orang

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PUTRAJAYA – Program Vaksinasi untuk masyarakat Orang Asli sudah mencapai 67 peratus atau 115,516 orang.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, jumlah itu berdasarkan data terkini sehingga petang semalam.

“Ada lagi yang belum mendapat vaksin dalam lebih kurang 56,000 orang, jadi kita sedang berusaha dengan pelbagai cara.

“Salah satu yang dilaksanakan diperingkat kementerian adalah melalui outreach iaitu kita yang pergi cari, melalui Mara kita ada bas Mara Liner dan akan menjadikan pengangkutan awam itu seperti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar di sini hari ini.

Tambahnya, tumpuan program vaksinasi di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli, JAKOA itu adalah di negeri-negeri seperti Perak, Pahang dan Kelantan yang mempunyai bilangan Orang Asli yang ramai.

Secara keseluruhannya, 172,155 Orang Asli layak divaksin.

Ia membabitkan golongan dewasa seramai 144,180 orang dan 27,975 golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Jelas Mahdzir, Program Vaksinasi Orang Asli ditetapkan mencapai 100 peratus pada akhir bulan November tahun ini.

“InsyaAllah kita akan teruskan program outreach ini untuk membolehkan kita dapat semua sekali, “katanya

Sementara itu, ditanya mengenai jumlah Orang Asli yang belum divaksin itu samada menolak untuk divaksin, Mahdzir bagaimanapun berkata masyarakat Orang Asli menerima baik Program Vaksinasi Kebangsaan.

“Mereka belum dapat vaksin, bukan menolak, sebab nak sampai mereka ni tinggal jauh di pedalaman, jadi kita sedang usahakan, pegawai JAKOA sedang berusaha untuk membuatnya, ada tempat yang nak pergi sehingga empat jam, ada yang terpaksa pergi dengan helikopter.”

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, bekalan untuk keseluruhan Orang Asli yang layak divaksin sudah mencukupi termasuk vaksin jenis Cansino yang digunakan untuk penerima satu dos di kawasan jauh di pedalaman dan sukar dimasuki. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan