29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tiada keperluan mengabsah pelantikan PM, kata Peguam Negara

Mesti Baca

CYBERJAYA – Tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan yang telah dibentuk menurut lunas undang-undang, kata Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Ini kerana, menurut beliau, tatacara penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat telah pun diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri.

Beliau berkata, Seri Paduka telah pun mengadakan sesi menghadap bersama ketua-ketua parti politik utama negara pada 17 Ogos di mana kesemua 220 ahli-ahli Dewan Rakyat telah diminta menyatakan nama ahli Parlimen yang diberikan kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan.

Menurut Idrus, susulan penerimaan surat akuan tersebut, Seri Paduka telah berkenan menerima menghadap seramai 114 ahli Dewan Rakyat untuk mengesahkan kepercayaan kepada Ismail Sabri yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Sekiranya pelantikan Perdana Menteri baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka, ini bermakna kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong boleh diatasi pihak lain.

Advertisements

“Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Idrus berkata, Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Ismail Sabri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa budi bicara kepada Seri Paduka untuk melantik Perdana Menteri harus dibaca bersama Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan adalah Perdana Menteri hendaklah dilantik daripada kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Ternyata sekali pelantikan Perdana Menteri merupakan tanggungjawab Perlembagaan dan kuasa mutlak Seri Paduka,” jelas beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan