34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Usul percaya PM baharu bukan mengabsah perkenan Agong

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Parlimen tidak mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan negara untuk mengabsahkan perkenan Yang di-Pertuan Agong termasuk berhubung perlantikan seorang Perdana Menteri.

Pakar perundangan, Datuk Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, sekiranya Parlimen diberi kuasa untuk mengesahkan perkenan Baginda, ia amat tidak baik sama sekali kepada kuasa budi bicara dan kemuliaan Seri Paduka Baginda.

Dalam satu kenyataan pada 18 Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.

Berikut kenyataan penuh Shamrahayu menerusi Facebook beliau hari ini.

Saya menulis kali ini untuk menegaskan pandangan saya tentang undi percaya kepada Perdana Menteri yang baharu dilantik, terutamanya pelantikan bukan hasil daripada pilihan raya.

Sebelum saya menjawab isu utama bagi tujuan penulisan ini, saya mahu menyatakan beberapa perkara tentang kedudukan undang-undang iaitu Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk memberi pengesahan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan Perdana Menteri.

Tiada peruntukan dalam Perlembagaan tentang undi percaya. Ia adalah amalan atau adat perlembagaan yang tidak mengikat sehinggalah ia menjadi suatu undang-undang dengan cara dikanunkan atau diiktiraf oleh mahkamah.

SHAMRAHAYU ABD AZIZ

Pelantikan Perdana Menteri adalah sah setelah mendapat perkenan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan seterusnya berlakunya upacara menandatangani suratcara pelantikan, sumpah taat setia dan sumpah simpan rahsia yang kemudiannya lantikan tersebut hendaklah diwartakan.

Sekiranya Tuanku titah untuk diadakan undi percaya, itu adalah bagi tujuan mengukuhkan kedudukan seorang perdana menteri, atau sesebuah kerjaan, bukan untuk memberi pengesahan kepada perkenan yang telah diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Apa yang saya perlu tegaskan tentang isu utama di sini ialah:

Advertisements

Kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah amat berwibawa dan ia tidak perlu disahkan oleh mana-mana pihak, termasuk Parlimen. Maksudnya tiada sesiapa pun boleh mempertikaikannya.

Ia adalah kuasa budi bicara Baginda. Membenarkan ia wajib disahkan oleh parlimen dalam apa cara sekalipun ia akan merendah-rendahkan kuasa budibicara/perkenan baginda.

Parlimen adalah badan yang patut menurut dan taat kepada perkenan baginda.

Justeru, kalaupun Baginda titahkan untuk dibuat undi percaya, ia bukan bertujuan mengesahkan atau memberikan keabsahan kepada lantikan yang telah diberi perkenan oleh baginda.

Tindakan mendapatkan undi percaya itu adalah bagi mengukuhkan kerajaan dan melaksanakan titah ini adalah baik untuk kerajaan itu sendiri walaupun ia adalah hanya adat perlembagaan.

Saya mengambil berat tentang fungsi perkenan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong kerana saya tidak mahu kemudian hari nanti orang ramai atau para pemain demokrasi menyatakan perkenan Yang di-Pertuan Agong tersebut boleh disahkan oleh Parlimen.

Sekiranya hal ini (memberikan kuasa kepada parlimen untuk mengesahkan perkenan Yang di-Pertuan Agong) berlaku ia amatlah tidak baik sama sekali kepada kuasa budi bicara dan kemuliaan Yang di-Pertuan Agong.

Akhir sekali, sekiranya para pembaca meneliti semua kenyataan saya sebelum ini, saya tegaskan lagi, kerajaan hendaklah mengambil langkah untuk mengukuhkan kedudukan mereka, dan mengambil tauladan daripada apa yang berlaku kepada kerajaan sebelum ini.

Seterusnya, penegasan saya ialah, undi percaya bukan untuk menjadikan perkenan Yang di-Pertuan Agong atas lantikan Perdana Menteri itu sah. Ini kerana Parlimen tidak diberikan kuasa oleh Perlembagaan untuk memberi pengesahan kepada kuasa Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan