25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Suntikan vaksin ‘walk-in’ kepada remaja bermula Khamis ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Pemberian suntikan vaksin COVID -19 kepasa golongan remaja akan dilaksanakan di 156 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam dan Integrasi di seluruh negara secara kaedah jumpa terus (walk-in) berjadual bermula Khamis ini.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pengagihan vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun itu akan mengikut lokasi sekolah yang berhampiran dengan PPV yang dikenal pasti.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Imunisasi COVID -19 Remaja (CITF-A) berkata, pemberian vaksin yang akan dilaksanakan itu juga akan mengikut giliran serta tarikh dan masa yang ditetapkan.

“Manakala, jadual pemberian vaksin pula akan dikeluarkan oleh pihak sekolah masing-masing kepada remaja dan ibu bapa.

“Bagi remaja yang telah mendapat tarikh vaksinasi di PPV Sekolah, kumpulan pelajar ini perlu mengekalkan janji temu sedia ada di PPV sekolah yang telah ditetapkan dan tidak dibenarkan walk-in ke PPV Awam atau Integrasi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, bagi remaja yang tidak bersekolah pula, mereka dibenarkan untuk walk-in di mana-mana 156 PPV yang berdekatan dengan kediaman masing-masing.

“Sekiranya kuota vaksin di PPV tersebut telah habis untuk hari berkenaan, mereka akan diberi janji temu di PPV yang sama keesokan hari atau di klinik kesihatan swasta yang berdekatan,” katanya.

Menurutnya, pendekatan walk-in berjadual ini dibuat bagi memudahkan dan mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin kepada remaja di seluruh negara.

“Remaja yang menuntut di IPTA/IPTS yang berumur di bawah 18 tahun dibenarkan walk-in ke semua PPV yang masih beroperasi pada ketika ini dengan menunjukkan pengenalan diri sebagai pelajar IPTA/IPTS,” katanya.

Katanya lagi, ibu bapa atau penjaga perlu hadir bersama untuk menandatangani borang kebenaran vaksinasi anak masing-masing.

Program Imunisasi COVID -19 Kebangsaan (PICK) Remaja telah dimulakan secara rasmi semalam dan menyasarkan 3.2 juta golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Sehingga semalam, sebanyak 5,964 buah sekolah telah berdaftar dengan portal Vaksin-Anak-Ku.

Seramai 308,186 remaja telah menerima dos pertama vaksin COVID -19 dengan Sabah merekodkan bilangan tertinggi iaitu 118,141 orang diikuti Sarawak (88,473); Kedah (19,453); Kelantan (17,413); Johor (16,019) dan Labuan seramai 2,523. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan