29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

RMK-12: Fokus Sabah, Sarawak, negeri kurang membangun

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kerajaan komited dalam menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, atas dasar itu, usaha mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar akan terus diberi tumpuan.

Menurutnya, usaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutama Sabah dan Sarawak akan dipergiat.

“Ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan KDNK yang perlahan di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutama di Sabah, Kelantan dan Sarawak.

“Bagi tujuan ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan akan diagihkan kepada negeri-negeri tersebut,” katanya semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Parlimen hari ini.

Ismail menegaskan peruntukan berkenaan akan ditumpukan kepada penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.

“Saya sendiri akan memantau pelaksanaannya secara dekat. Bagi Sabah dan Sarawak, fokos termasuklah keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan.

“Oleh itu, pembangunan negeri Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan dalam RMKe-12.

“Penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 km jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Ismail Sabri berkata, seperti yang diumumkan semasa Hari Malaysia, peruntukan berjumlah 7.7 bilion ringgit, iaitu 3.61 bilion ringgit kepada negeri Sabah dan 4.09 bilion ringgit kepada negeri Sarawak disediakan bagi pelaksanaan JENDELA sepanjang tempoh RMKe-12.

“Dengan peruntukan ini, liputan jalur lebar akan dipertingkat melalui pembinaan infrastruktur digital, termasuk pembinaan menara atau pemancar telekomunikasi.

Advertisements

Menurutnya, sehingga Ogos lalu, sebanyak 2,645 infrastruktur digital siap dipasang di Sabah dan 2,117 di Sarawak.

“Bagi menambah baik bekalan elektrik, loji janakuasa baharu akan dibina dan talian penghantaran Grid Timur-Barat Sabah akan dinaik taraf. Projek pembinaan hidroelektrik Baleh di Sarawak dijangka siap pada tahun 2025.

Selain itu menurutnya, perkhidmatan penjagaan kesihatan akan dapat dipertingkat dengan siapnya Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak.

“Pembinaan 26 buah klinik baharu akan dapat menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di klinik desa di kedua-dua negeri.

“Selain itu, pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah akan memberi manfaat kepada 26 ribu isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, bagi menjamin keselamatan dan meningkatkan hubungan ekonomi dengan Kalimantan, Indonesia, pos kawalan sempadan yang baharu di Manalunan, Simanggaris dan Kalabakan, Sabah, akan dibina, manakala Kompleks ICQS Tebedu dan Serikin, Sarawak akan dinaik taraf.

“Selain itu, Projek Jalan dari Sempadan Ba’kelalan/Kompleks CIQ Menghala ke Lawas akan dimulakan pembinaan pada tahun 2022.

Ismail Sabri berkata, dengan pelaksanaan strategi dan inisiatif untuk melonjakkan pembangunan Sabah dan Sarawak ini, pertumbuhan purata KDNK tahunan negeri Sabah dijangka meningkat pada kadar 6.5 peratus dan negeri Sarawak pada kadar 5.3 peratus dalam tempoh 2021 hingga 2025.

“Saya berkeyakinan kedua-dua negeri ini mempunyai keupayaan dan kekuatan sumber yang boleh dioptimumkan sepenuhnya. Dengan itu, pertumbuhan sebenar boleh menjadi lebih tinggi daripada jangkaan ini,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan