CYBERJAYA – Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) merupakan kesinambungan tugasan yang telah beliau mulakan.
Justeru Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap pelantikan bekas Perdana Menteri itu amat sesuai kerana pengalaman yang dimiliki dalam menangani pandemik COVID-19.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Tan Sri MuhyiddinYassin atas pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.
“Pelantikan ini sebagai suatu kesinambungan tugasan yang telah dimulakan oleh beliau, sesuai dengan pengalamannya dalam menangani pandemik COVID-19,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Abdul Hadi berharap gandingan Muhyiddin bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dalam memulihkan negara berjalan lancar.
Katanya, ini demi menjamin kelangsungab hidup dan kestabilan ekonomi negara dapat terlaksana.
“Semoga gandingan beliau bersama YAB Perdana Menteri, Ismail Sabri mengharapkan segala usaha dan perancangan memulihkan negara berjalan lancar, demi menjamin kelangsungan hidup dan kestabilan ekonomi rakyat,” kata beliau.
Pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali setelah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Zuki berkata, pelantikan itu dibuat oleh Kabinet atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Muhyiddin yang menerima pelantikan pelantikan tersebut berkata, beliau akan menjalankan tugasnya secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, kepercayaan yang diberikan kerajaan itu merupakan suatu amanah untuk beliau meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak COVID-19.
MPN ditubuhkan sewaktu Muhyiddin masih lagi menjawat jawatan Perdana Menteri bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak COVID-19 secara holistik.
Majlis tersebut turut disertai pakar-pakar dalam pelbagai bidang termasuk sektor kesihatan, ekonomi dan sosial antaranya Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman; Tan Sri Azman Mokhtar; Datuk Michael Kang dan Datuk Dr Habibah Abdul Rahim. – Edisi 9