26.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 29, 2022

Muhyiddin terima pelantikan, tolak sebarang imbuhan

Mesti Baca

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan akan menjalankan tugasnya secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, kepercayaan yang diberikan kerajaan itu merupakan suatu amanah untuk beliau meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak COVID-19.

“Alhamdulillah, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Jemaah Menteri, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, atas pelantikan saya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.

“Saya juga menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang telah memperkenankan pelantikan saya.

“Saya berbesar hati menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Kelapan itu berkata, beliau dan anggota MPN akan membantu Perdana Menteri dan kerajaan untuk membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan sepertimana yang telah digariskan dalam MPN.

Baca juga:   Muhyiddin bangga keupayaan TM jadi CSP tunggal tempatan

Ini termasuk menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan.

Di samping itu, katanya, MPN juga akan mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras dengan peralihan pengurusan COVID-19 yang akan memasuki fasa endemik.

Baca juga:   1,086 PATI warga Myanmar diusir ke negara asal

“Insya-Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan,” kata beliau.

Pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali setelah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Zuki berkata, pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

MPN ditubuhkan sewaktu Muhyiddin masih lagi menjawat jawatan Perdana Menteri bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak COVID-19 secara holistik.

Majlis tersebut turut disertai pakar-pakar dalam pelbagai bidang termasuk sektor kesihatan, ekonomi dan sosial antaranya Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman; Tan Sri Azman Mokhtar; Datuk Michael Kang dan Datuk Dr Habibah Abdul Rahim. – Edisi 9

Baca juga:   107 kluster pendidikan tercetus sejak penggal 3 dibuka

Terkini

PM doakan Pandelela terus tambah pingat di Budapest

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah dan syabas kepada Datuk Pandelela Rinong Pamg atas kejayaan meriah pingat gangsa...

Lagi Artikel Berkaitan