34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Dilema dan cabaran sengit Pas di Terengganu

Pas menjelang PRU-15 (Bahagian 3)

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

KREDIBILITI kepimpinan Pas yang diketuai oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus menjadi personaliti yang masih dipercayai.

Apatah lagi beliau pernah memimpin kerajaan Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) yang lalu.

Perubahan kepimpinan sentiasa mendapat tempat di dalam kepimpinan Pas untuk menghadapi perubahan masa dan zaman.

Pelantikan golongan muda dan profesional dalam Pas seperti Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan parti itu di Terengganu.

Keyakinan ini telah mendorong rakyat memberi peluang kepada Pas dengan harapan mampu menyelesaikan isu-isu kepimpinan, kronisme, sosial masyarakat dan sistem pentadbiran kerajaan.

Kemenangan Pas pada PRU-14 merupakan keputusan rakyat Terengganu yang ingin melihat parti itu kembali memerintah negeri sejak PRU-11.

Peningkatan kemenangan kerusi Parlimen dan Dewan Undang Negeri (DUN) pada kali ini juga telah memperlihatkan keyakinan rakyat untuk berubah sekali lagi daripada kepimpinan UMNO kepada Pas.

Pada PRU-12, Pas hanya memenangi satu kerusi Parlimen iaitu Marang sedangkan pada PRU-13, Pas telah memperolehi empat kerusi Parlimen.

Pada PRU-14 Pas berjaya menawan enam kerusi Parlimen daripada lapan kerusi yang dipertandingkan di negeri itu. Pas hanya gagal merampas Besut dan Hulu Terengganu.

Keputusan undian di peringkat Parlimen juga secara tidak langsung telah memberi kesan yang ketara kepada keputusan undian di peringkat DUN.

Malahan ada kawasan DUN tertentu telah menyaksikan pertembungan yang sengit di antara Pas dan Barisan Nasional (BN) di mana margin majoriti kemenangan adalah terlalu rendah iaitu hanya perbezaan empat undi di DUN Ajil, 46 undi di Bukit Besi dan 55 undi di Jabi.

Walaupun begitu keputusan Parlimen Setiu sedikit sebanyak memberikan gambaran sebenar apa yang berlaku di Terengganu.

Jika dilihat kemenangan Pas di kerusi Parlimen Setiu hanyalah sebanyak 2,802 undi sahaja.

Sedangkan UMNO telah memenangi kerusi DUN Permaisuri, Langkap dan Batu Rakit dengan dengan majoriti 5,715 undi berbanding kemenangan Pas di Jabi dengan 55 undi sahaja!

Kenapakah perbezaan ini berlaku dengan ketara?

Dalam kajian yang dijalankan sebelum PRU-14 didapati lebih daripada 20 peratus rakyat Terengganu akan memilih calon pada saat-saat akhir sama ada dari UMNO mahupun Pas.

Malah kajian juga mendapati keberangkalian pengundi yang memilih UMNO sebelumnya akan mengundi calon Pas atas faktor-faktor tertentu juga adalah tinggi.

Sementara itu, ahli-ahli Pas pula akan tetap setia mengundi parti itu tanpa mengira apa pun yang berlaku dalam situasi dan kondisi perkembangan politik semasa.

Situasi ini menunjukkan kelunakan sebahagian besar rakyat Terengganu yang boleh menukar kerajaan yang sedia ada jika sekiranya parti yang memerintah tidak dapat menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, karenah birokrasi yang berpanjangan, ketidakcekapan sistem pentadbiran kerajaan, kepimpinan kerajaan negeri yang lemah, pengundi muda di sampingkan dan kebajikan rakyat diabaikan.

Rakyat bukan sahaja memerlukan pembangunan bersifat material semata-mata malahan pembangunan rohani juga amatlah diperlukan.

Berdasarkan faktor sebahagian besar calon-calon Pakatan Harapan (PH) telah hilang deposit pilihan raya pada PRU-14, dapat menunjukan bahawa persaingan pada PRU-15 akan hanya menjurus kepada pertembungan Pas dan UMNO sahaja.

Jika faktor ini diambil kira tidak menolak kemungkinan saingan paling sengit akan berlaku di Terengganu pada PRU-15 nanti biarpun di peringkat Pusat kedua-dua parti ‘bersama-sama’ dalam kerajaan.

Pas sudah bergabung bersama Bersatu di bawah Perikatan Nasional (PN) dan menjadi kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak Mac 2020 dan kini diteruskan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Namun, ‘kemesraan’ antara Pas dan UMNO dikatakan hanya berlaku di peringkat Pusat dan di beberapa negeri seperti di Selangor dan Kedah, tetapi tidak di Terengganu.

Justeru, persoalannya apakah Datuk Seri Ahmad Said akan tetap membawa UMNO untuk ‘melanggar’ Pas di semua kerusi di Terengganu dalam PRU-15 nanti?

Sama-sama kita nantikan!

  • Dr Mohd Sadad Mahmud adalah Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA). Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan