29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Individu positif Covid-19 dikesan daftar masuk 523 premis

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Polis kini menjejaki individu yang melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) berdasarkan laporan analisis mobiliti aplikasi MySejahtera yang mengesan terdapat 523 daftar masuk premis membabitkan individu positif Covid-19.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, berdasarkan data yang diperolehi, sebanyak 18 peratus kes tersebut dikesan berlaku di pasaraya.

Sehubungan itu menurutnya, bagi membolehkan tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa dengan pantas dan tegas, Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP COVID-19 (JKPS) telah meminta pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyalurkan maklumat berhubung pelanggaran perintah HSO secara serta merta (real-time) kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan penguatkuasaan di lapangan.

“Melalui maklumat tersebut, pihak berkuasa seperti PDRM dapat diatur gerak terus ke mana-mana lokasi yang telah dikenal pasti bagi tujuan penguatkuasaan berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Selain itu, pihak premis yang didapati membenarkan individu yang melanggar perintah HSO memasuki premis mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata,
mesyuarat JKPS pada hari ini juga telah mendengar pembentangan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) berhubung pembukaan sektor pelancongan domestik secara berperingkat yang bermula pada 16 September lalu melalui projek rintis Gelembung Pelancongan Pulau Langkawi.

Advertisements

Sehubungan itu menurutnya, Op Patuh akan memberikan tumpuan khusus terhadap pelaksanaan Gelembung Pelancongan Pulau Langkawi bagi memastikan kejayaan pelaksanaan projek rintis tersebut sebelum ianya diperluaskan kepada destinasi-destinasi pelancongan yang lain.

“Sejak dilancarkan pada 25 Jun lalu, Op Patuh sehingga 23 September ini telah menjalankan sebanyak 1,843,856 pemeriksaan di seluruh negara ke atas 178,266 buah kilang, 79,974 tapak pembinaan, 1,565,649 premis perniagaan dan 24,967 asrama penginapan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,410 kompaun telah dikeluarkan dan 4,440 premis telah diarah tutup,” katanya.

Hamzah berkata, mesyuarat JKPS juga memutuskan untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan pematuhan SOP secara bersepadu melalui Op Patuh bagi memastikan tiada pihak mengambil mudah mengenai pematuhan SOP PKP ketika negara beralih ke fasa endemik.

-tamat-

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan