25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Hutan Simpan Kuala Langat Utara ‘terselamat’

Mesti Baca

CYBERJAYA – Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) seluas 536.7 hektar yang hampir dikorbankan untuk pembangunan akhirnya terselamat.

Ini berikutan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor yang membatalkan projek pembangunan bercampur yang dirancang di kawasan tersebut sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan tersebut serta membatalkan pemberimilikan tanah itu kepada syarikat terbabit.

“Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Selangor akan memulakan proses mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

“Pada masa yang sama, kawasan gantian yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal seluas 1,436 ekar di Sungai Panjang, Ampang Pechah dan Bukit Broga akan kekal statusnya sebagai Hutan Simpan Kekal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini penyahwartaan HSKLU yang telah dilaksanakan sejak November 2019 mendapat bantahan pelbagai pihak, termasuk para penduduk Orang Asli berhampiran hutan paya gambut tersebut.

Bagaimanapun MMKN pada 5 Mei lalu hanya meluluskan kawasan seluas 536.70 hektar daripada keseluruhan kawasan HSKLU ini untuk dinyahwarta di bawah Seksyen 11 dan 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Amirudin berkata, sebanyak 42 hektar daripada jumlah keseluruhan 1,326 ekar akan kekal dinyah warta bagi melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru bagi menyelesaikan isu yang tertangguh sejak tahun 2006.

Katanya, mereka telah dipindahkan dari penempatan asal mereka pada 1994 untuk tujuan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kerajaan negeri akan mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan kekal nyah warta untuk tujuan pertimbangan jajaran East Coast Rail Link (ECRL),” katanya.

Sementara itu Amirudin menegaskan, proses penyahwartaan sebelum ini telah mengikuti segala prosedur dan tatacara yang dinyatakan mengikut lunas undang-undang.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan yang berteras prinsip akauntabiliti, Kerajaan Negeri akan menulis surat kepada Speaker Dewan Negeri Selangor untuk mengadakan sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT).

Katanya, ini bagi menjawab sebarang isu-isu yang dibangkitkan berkenaan dengan penyahwartaan sebelum ini. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan