25.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 29, 2023

Selangor sasar bina 60,000 rumah mampu milik akhir 2025

Mesti Baca

KERAJAAN negeri Selangor menyasarkan pembinaan 60,000 unit Rumah Selangorku berharga di bawah RM250,000 seunit menjelang akhir 2025.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata sehingga akhir tahun ini, pembinaan Rumah Selangorku sudah mencapai 45,000 unit dan usaha pemantauan perlu dilakukan bagi memastikan projek berkenaan disiapkan.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi yang perlahan tetapi bertambah baik, kemampuan orang ramai untuk membeli hartanah dengan harga mampu milik akan terus meningkat.

“Kita akan menyediakan 60,000 unit rumah berharga RM250,000 dan ke bawah menjelang 2025.

“Oleh itu, tahun depan dan 2025, kita perlu lebih agresif bagi memastikan semua projek berada pada landasan ditetapkan iaitu tidak terlewat untuk disiapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ekspo Hartanah Selangor 2023 anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS) di Central I-City Mall, Shah Alam kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah.

Sementara itu, Borhan ketika berucap berkata, sepanjang 20 tahun, antara pencapaian LPHS adalah mewujudkan dasar pembangunan hartanah seperti Rumah Selangorku 1.0 hingga yang terkini Rumah Selangorku 3.0.

“Sehingga kini sebanyak 109 projek membabitkan 35,606 unit Rumah Selangorku sudah siap dibina dan diduduki.

“LPHS berjaya menawarkan seramai 48,407 orang awam memiliki Rumah Selangorku,” katanya.

Borhan berkata, LPHS bukan saja bertindak sebagai pembuat dasar dan pemantauan projek, malah kini sebagai pemaju perumahan khusus kepada perumahan mampu milik.

“Setakat ini, LPHS menyasarkan 6,734 unit Rumah Selangorku akan dibina menjelang 2026.

“Antara lokasi strategik adalah Glenmarie, Alam Impian, Pekan Bangi Lama, Pulau Meranti, Kota Warisan dan Salak Tinggi,” katanya. -Edisi 9

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini

Kumpulan nasyid Aeydan enggan dibayangi Rabbani

MENYEDARI mereka dilahirkan sebagai anak-anak Rabbani, ramai beranggapan kumpulan nasyid Aeydan bakal menyambung legasi kumpulan itu. Namun begitu, ia membuatkan...

Lagi Artikel Berkaitan