SEBERANG PERAI – Pusat Pendidikan Hijau (PPH), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berkeluasan 1.4 ekar terletak di Padang Chempedak, Tasek Gelugur di sini sudah berhasil dan mula dituai.
Pusat berkenaan ditubuhkan hasil Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Mac lalu bagi menjalin kerjasama strategik antara UPSI bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Urbanest Sdn Bhd.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, hasil daripada kejayaan luar biasa projek inovasi UPSI bersama MBSP seperti inovasi mesin kompos (EFWC) dan E-Sukan Pendidikan Hijau, UPSI dan MBSP mengorak langkah mengusahakan sebidang tanah seluas 1.4 ekar membangunkan PPH sebagai hub pendidikan, penyelidikan dan pengkomersialan teknologi yang komprehensif.
“Hasil kerjasama itu memberi manfaat yang menyeluruh kepada komuniti setempat dan UPSI berbangga dapat mencurahkan ilmu dan pengetahuan kepada komuniti serta mewujudkan inovasi baharu serta mencipta peluang kepada belia untuk menjadi petani bandar.
“Menerusi kerjasama rakan strategik UPSI-MBSP-URBANSET, pusat ini dapat memberi impak yang besar dan dijadikan sebagai model oleh masyarakat, pelajar, industri tempatan dan antarabangsa.
“Ia sekaligus akan menjadi pusat penyelidikan pelbagai disiplin aktiviti hijau seperti pengkomposan, kebun komuniti serta upcycle ke arah mengurangkan sisa,” katanya sempena sesi tuai hasil tersebut di sini.
Turut hadir, Datuk Bandar MBSP, Datuk Sr. Rozali Mohamud, Pengarah Urusan, Urbanest Sdn. Bhd., G. Karthigayan dan Ketua PPH UPSI, Prof Madya Dr Che Zalina Zulkifli.
Sementara itu, Helmi Zaifura yang teruja melihat hasil tanaman itu melahirkan rasa gembira dengan kejayaan pusat berkenaan berikutan sudah mendatangkan hasil sekali gus berupaya menjana pendapatan selain melaksanakan proses pemindahan ilmu.
Beliau berkata PPH UPSI menjadi adalah sebuah pusat pendidikan hijau pertama di Malaysia yang holistik dan berfokuskan teknologi hijau lestari yang merangkumi pertanian pintar, pusat kompos, biodiversiti dan “up-cycle”.
“Pusat ini akan menjadi lapangan rujukan aktif dan terbuka kepada masyarakat, sekolah, insitusi pengajian tinggi dan industri di peringkat nasional malahan antarabangsa dalam menjadi hub pendidikan, penyelidikan, pengkomersialandan eko-tourism, selain bermanfaat sosial dan sirkular ekonomi malahan dapat membantu mitigasi krisis iklim.
Bagi Che Zalina, projek pusat berkenaan sudah mengeluarkan hasil dengan buah yang besar seperti tanaman cili merah jenis sakata yang menggunakan teknik fertigasi, manakala sistem hidroponiks digunakan untuk menanam kalian, salad, bakchoi dan sawi.
PPH, katanya, menggunakan sistem alam mesra seperti akuaponik, fertigasi, kompos, kraf, internet of thing (IOT) dan sensor-e-pendidikan hijau.
Menurut beliau UPSI menempatkan lapan penyelidik secara berkala mingguan, enam kakitangan Wira Oren MBSP (separuh masa), Urbanest Sdn. Bhd menyediakan seorang pengurus operasidan pakar agronomist untuk bertugas setiap hari. – Edisi 9