34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Ahli Parlimen, Senator antara 28 individu positif COVID-19

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Seramai 28 individu termasuk dua Ahli Parlimen dan seorang Senator disahkan positif COVID-19 sebelum persidangan Parlimen bermula esok, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Memetik laporan Berita Harian, Noor Hisham berkata, dua Ahli Parlimen terbabit disahkan positif menerusi saringan di luar Kompleks Parlimen manakala Senator dan 25 kakitangan Parlimen disahkan positif selepas saringan dijalankan 10 dan 11 September lalu.

“Saringan dilakukan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Kompleks Parlimen semalam dan kelmarin manakala dua Ahli Parlimen disahkan positif dalam ujian saringan di luar kompleks.

“Daripada jumlah itu, 15 daripada mereka disahkan COVID-19 antara 27 Mei hingga 1 September lalu manakala 13 individu lagi baru saja dikesan positif buat kali pertama ketika saringan pada 10 sehingga 11 September lalu.

“Justeru 13 individu yang kali pertama disahkan positif tidak dibenarkan hadir ke sidang Parlimen, diasingkan dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) sehingga diberi keputusan akhir penilaian oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagi 15 individu yang positif pula, kes mereka akan disiasat semula untuk menilai tahap kesihatan dan jangkitan supaya tindakan lanjut dapat diambil.

“Mereka juga tidak dibenarkan hadir ke sidang Parlimen sehingga diberi keputusan akhir penilaian oleh KKM. Keputusan siasatan ini akan dimaklumkan segera selepas dimuktamadkan,” katanya.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas akan diadakan bermula esok hingga 26 Oktober ini.Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini, yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan yang diadakan dua hari selepas sambutan ulang tahun ke-62 Parlimen itu, dijadual menumpukan isu pemulihan negara susulan penularan pandemik COVID-19 serta pakej bantuan yang disediakan untuk kelangsungan hidup rakyat.

Dr Noor Hisham berkata, selepas mengambil kira situasi semasa COVID-19 ketika ini dan keputusan saringan dijalankan sebelum persidangan Parlimen esok, KKM menasihatkan semua individu yang akan hadir ke Parlimen dikehendaki mematuhi SOP dan peraturan sedia ada.

Katanya, ia untuk memastikan persidangan dapat berjalan lancar, selamat serta penularan COVID-19 dapat dicegah ketika Parlimen bersidang.

-EDISI9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan