29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Warkah terbuka untuk Perdana Menteri Malaysia

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Assalamualaikum,

Saya berharap YAB Tan Sri dalam keadaan sihat-walafiat. Dalam Sun Tzu, seorang askar mengutus berpucuk-pucuk surat kepada Maharajanya, tujuannya untuk membantu Maharaja dalam peperangan.

Saya hanyalah penjawat awam biasa, tetapi telah melalui perjalanan mantan-mantan Perdana Menteri terdahulu. Maka saya menulis warkah ini untuk memberi semangat. Kekuatan Tan Sri ialah pada kejujuran, transparensi, kesederhanaan, keazaman tinggi, kesabaran dan paling terserlah adalah ketaqwaan keberserahan diri kepada Allah SWT.

Kami berasa tenang dan gembira dengan itu. Walaupun pihak pembangkang tidak berhenti melakukan provokasi di tengah-tengah pandemik Covid-19, namun majoriti rakyat tidak terpedaya.

Kami faham Tun Dr. Mahathir, Datuk Seri Anwar, Datuk Seri Najib, Datuk Seri Zahid, Lim Guan Eng semuanya lapar mahu menjadi Perdana Menteri.

Kami tidak mahu lagi ber-Perdana Menteri di mana menteri-menteri DAP tidak menghormati Perdana Menteri, membuat polisi dan keputusan berasingan yang hanya menguntungkan DAP sahaja. Kami fobia dengan polisi RM30, pembuangan kerja dan penutupan agensi.

Kami juga tidak mahu lagi terpalit dengan kebobrokan 1MDB. Kami penjawat awam sangat malu menunjuk muka di mana-mana kerana asyik dipalit dengan 1MDB. Cukuplah sekali, janganlah berulang lagi.

Kami tidak mahu Anwar, latarbelakangnya mencurigakan dan meragukan. Kami tidak mahu Zahid, kami sudah rasa pemerintahannya di pejabat, tidak perlulah diungkai. Kami juga tidak mahu Lim Guan Eng, dia memenderitakan kami, ia mimpi buruk dan kami tidak mahu ia berulang.

Kami tahu betapa besarnya pengorbanan Tan Sri meluluskan moratorium hutang rumah, premis, pinjaman peribadi dan kereta kami kepada bank. Ia sangat melegakan Tan Sri.

Kawan-kawan dan keluarga di swasta pula boleh mengeluarkan KWSP juga sangat membantu. Kami tidak dapat bayangkan jika Pakatan Harapan (PH) memerintah kembali, apa kami mampu buat dengan bantuan RM30.

Kami tahu Tan Sri telah menghidupkan polisi membantu bumiputera dan golongan B40 di semua kementerian walaupun tanpa Dasar Ekonomi Baru. Kami tidak dapat bayangkan jika PH memerintah semula dengan kata-kata orang Melayu Bumiputera jangan asyik bergantung kepada bantuan Kerajaan.

Semalam anak-anak muda dihasut berdemo di saat varian Delta bermaharajalela. Alhamdulillah Tan Sri, rata-rata netizen di media sosial sangat kecewa dan marah kepada mereka. Hinggakan banyak komuniti perumahan melarang mereka kembali ke kawasan perumahan jika tidak membuat swab test (ujian calitan).

Akhir kalam, melangkahlah dengan gagah Tan Sri, be strong!.

Kami penjawat awam dan majoriti rakyat bersama Tan Sri. Mudah-mudahan program vaksinasi dapat segera mencapai 80 peratus dan kita boleh kembali jalani kehidupan seperti biasa. Saya yakin Tan Sri akan lebih cemerlang apabila negara sudah pulih dan rakyat akan lebih bahagia.

Salam hormat,

PENJAWAT AWAM
Putrajaya

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan