31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

UMNO utus surat akuan tolak Muhyiddin kepada Agong

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

KUALA LUMPUR – UMNO sudah mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan bahawa parti itu telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bersama surat tersebut beliau turut menyertakan surat akuan yang ditandatangani oleh sebahagian daripada ahli-ahli Parlimen UMNO bagi mengesahkan penarikan balik sokongan tersebut.

“Surat akuan ahli-ahli Parlimen dari UMNO yang mencukupi bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri telahpun saya persembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Sekaligus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan beliau selaku ketua kerajaan dengan ini telah terbatal,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO hari ini.

Hadir sama Ahli-ahli Parlimen yang menandatangani surat akuan tersebut antaranya Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Seri Najib Razak (Pekan), Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian), Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang) dan Datuk Seri Abdul Aziz Rahim (Baling).

Zahid berkata, beliau akan mendapatkan tandatangan beberapa lagi ahli Parlimen UMNO terutama dari Sabah pada hari lain dan akan mempersembahkannya kepada Seri Paduka Baginda apabila dipanggil mengadap nanti.

Beliau juga sekali lagi mendesak agar Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat sebagai mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran kerajaan pimpinan beliau yang menyanggah titah Seri Paduka Baginda.

Katanya, kenyataan terbaru Muhyiddin hari ini tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan kerajaan yang jelas menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong.

Malah, tegas Zahid, kerajaan dianggap mempersenda Seri Paduka Bagina yang sudah beberapa kali menitahkan agar semua ordinan darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos, dan bukannya pada sidang Parlimen akan datang September nanti.

“Bagi menzahirkan kesetiaaan tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, maka Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara, bersepakat untuk menarik balik sokonganterhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri,” katanya.

Katanya, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan kerajaan PM pimpinan Muhyiddin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah menandatangani surat akuan bagi menyokong Muhyiddin untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

Memetik sumber ahli Parlimen BN berkata, pertemuan sulit itu bermula pukul 9 malam semalam dan dipengerusikan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen BN (BN Backbenchers), Datuk Seri Shahidan Kassim.

Jelas sumber itu lagi, surat akuan mempertahankan kedudukan Muhyiddin dan kerajaan PN terpaksa dibuat memandang terdapat usaha pihak tertentu cuba menafikan sokongan 40 ahli Parlimen BN terhadap kerajaan PN sebelum ini.

Untuk rekod, jumlah kerusi BN di Parlimen ialah sebanyak 42 kerusi dengan 38 daripadanya mewakili UMNO, dua kerusi mewakili MCA dan masing-masing satu oleh MIC dan PBRS.

Pada ketika ini jumlah kerusi di Parlimen ialah sebanyak 220 dengan dua kerusi iaitu Batu Sapi dan Grik masih lagi kosong. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan