25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Peribahasa DBP ‘rancak’ dibalas pantun netizen

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Laman Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekali lagi menjadi tumpuan netizen untuk meluahkan perasaan mereka, namun kali ini mengenai situasi terkini memilih pemimpin negara.

Sehingga pukul 10.00 malam ini, peribahasa ‘Jikalau Mengangin Jangan Tumpah Padinya’, yang baharu dimuat naik sejam lalu telah dikongsi sebanyak 981 kali, mendapat lebih 2,400 tanda suka dan mempunyai 64 komen.

DBP turut berkongsikan maksud peribahasa berkenaan iaitu, berhati-hati apabila memilih, supaya tidak terbuang yang baik.

Rata-rata netizen mengambil peluang diruang komen status berkenaan untuk berkongsikan pendapat berkenaan memilih pemimpin melalui rangkap pantun masing-masing.

Salah seorang pengguna Facebook Bonda Zalina Amat Rosman berkongsikan pantun:

Jika mengangin jangan tumpah padinya,
Tangan bersemutan kebas sekali,
Pilihlah pemimpin yang benar baiknya,
Jangan penyesalan berulang kembali.

Bagi Kakcik Juariah Mansor pula, dia berkongsikan:

Mengangin padi berhati-hati,
Agar beras tak terbang sama,
Salah undi sengsara diri,
Pemimpin keras rakyat merana.

Mohd Rizatun Omar juga meninggalkan komen di status berkenaan dengan pantun:

Jangan tumpah padi diangin,
Jatuh harganya tiada nilai,
Jika hendak cari pemimpin,
Pertama elok kedua pandai.

Tidak kurang juga terdapat pengguna Facebook yang mahu meluahkan pendapat mengenai pemilihan pemimpin, namun tidak menggunakan pantun.

“Berhati-hati memilih pemimpin pasangan hidup, sahabat, jiran, makanan dan sebagainya. Isu semasa, berhati-hati memilih pemimpin untuk negara tercinta,” kongsi Nor Hasyimah Mansor.

Manakala Siput Emas pula memuji DBP dan meluahkan perasaan sukanya kerana pemilihan status DBP selalu kena dengan isu semasa.

Terdahulu, kesemua Ahli Parlimen diberi tempoh sehingga 4 petang esok untuk mengemukakan surat akuan (SD) menamakan calon Perdana Menteri baharu pilihan masing-masing.

Berdasarkan surat pekeliling yang dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan harun hari ini, satu nama sahaja yang boleh dikemukakan oleh setiap orang.

Surat akuan tersebut perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya esok, 18 Ogos sebelum 4 petang secara faksimili, e-mel atau Whatsapp.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan