ANAK-anak muda dan golongan belia perlu menjadi tulang belakang kepada agenda memartabatkan Islam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, hari ini, kita berhadapan dengan cabaran keruntuhan akhlak.
“Isu-isu gejala sosial dalam kalangan pelajar sekolah dan golongan belia amat menyedihkan kita semua.
“Ia memberikan petunjuk kepada kita semua untuk terus bekerja keras untuk mendidik dan membawa masyarakat untuk kembali menghayati nilai-nilai akhlak.
“Disinilah peranan golongan terpelajar untuk menjadi pembimbing kepada anak-anak remaja di luar sana,”katanya.
Terdahulu beliau hadir pada Program Kemasyarakatan dan Usrah Bimbingan Pemantapan Asas Fardhu Ain Pelajar Pembiayaan Pendidikan Yayasan Angkasa hari ini.
Katanya, anak-anak belia adalah role-model yang harus memberikan contoh teladan kepada semua pihak.
“Aspek pembinaan akhlak dan sahsiah adalah aspek terpenting kepada pembinaan negara madani.
“Saya mahu anak-anak muda dan golongan belia menjadi tulang belakang kepada agenda memartabatkan Islam di negara kita.
“Saya amat menyanjung tinggi penglibatan serta semangat anak-anak muda untuk mengislah masyarakat ke arah yang lebih baik.
“Tahniah kepada Yayasan Angkasa, YADIM bersama Masjid Bandar Rinching, Semenyih,”kata beliau.