26.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

Usah jadi pencetus perpecahan dalam kalangan rakyat

Mesti Baca

SEMUA pihak diingatkan agar tidak menjadi pencetus kepada perpecahan atau ketidaksefahaman dalam kalangan rakyat dengan memperkenalkan logo dan tema berbeza dalam menyambut Hari Kebangsaan Ke-66 tahun ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sudah tiba masanya semua pihak saling membantu meningkatkan tahap kesepaduan nasional bukannya soal mencari siapa lebih baik siapa lebih kurang atau siapa baik, siapa yang buruk.

Sebaliknya, jelas beliau, ia lebih bersifat saling menguatkan kebersamaan tanpa mengira latar belakang mahupun fahaman politik.

“Sambutan Hari Kebangsaan adalah merupakan satu perayaan bersifat nasional yang mana logo dan tema yang ditetapkan menjadi lambang kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Sebarang cadangan untuk menggunakan logo dan tema yang berbeza dilihat boleh mengganggu gugat perihal perpaduan dalam membangunkan
negara dan seterusnya membantutkan usaha-usaha kerajaan untuk memastikan kesejahteraan masyarakat terjamin, menuju pembentukan
negara maju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aaron berkata, usaha murni yang dilaksanakan oleh kerajaan seharusnya mendapat sokongan dan dukungan daripada semua lapisan masyarakat.

Ini kerana, jelas beliau, masyarakat Malaysia yang akan menentukan perpaduan sebenar yang ingin dikecapi berjaya sepenuhnya atau tidak.

“Jika kita lihat maksud tersirat di sebalik tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 iaitu ‘Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’, ia menterjemahkan semangat perpaduan dan patriotisme yang tinggi serta membenihkan rasa cintakan yang mendalam kepada negara,” katanya.

Aaron berkata, semua sedia maklum bahawa sambutan yang diadakan setiap tahun itu diraikan dengan penuh semangat patriotisme dan cinta kepada negara dengan mengenang jasa pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu yang telah bersusah payah memastikan Malaysia terus bebas merdeka dari cengkaman penjajah.

Advertisements

Jelasnya, isu yang dibangkitkan itu merupakan salah satu daripada defisit sosial yang telah dikenal pasti mampu menjejaskan perpaduan iaitu politik federalisme.

Katanya, ia berkait rapat tentang semangat kerjasama, toleransi dan hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang perlu ditangani secara berhemah.

“Seharusnya pemimpin di setiap peringkat hendaklah memainkan peranan penting sebagai pemangkin perpaduan termasuklah tadbir urus di peringkat persekutuan dan negeri melalui aspek sempadan politik, ekonomi dan sosial.

“Kepelbagaian kaum yang ada dalam negara kita harus dijadikan kekuatan serta simbol perpaduan kepada dunia,” katanya.

Semalam, Pemuda Perikatan Nasional (PN) melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan Ke-66 sendiri yang akan digunakan oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran parti itu.

Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tema yang dipilih adalah ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’ selaras dengan usaha menyemarakkan lagi semangat patriotik dan memekarkan kecintaan rakyat terhadap negara.

Menurut beliau, logo yang berasaskan bunga raya memaparkan empat warna dalam Jalur Gemilang iaitu biru, putih, kuning dan merah.

Namun, biru yang digunakan adalah sama dengan warna bendera PN yang dikatakan membawa maksud perpaduan.

“Apa yang lebih penting ialah yang kita mahu kekalkan bagaimana konteks Malaysia Sejahtera itu yang akan terhasil apabila kita meneguhkan Muafakat Rakyat yang menjadi tunjang sehingga kepada hari ini,” katanya seperti dilapor media. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan