24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Ismail Sabri nama tunggal pilihan BN sebagai calon PM

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Barisan Nasional (BN) sebulat suara memilih Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini.

Menurut beliau, pemilihan nama Ismail Sabri turut mendapat sokongan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak dan ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO.

“Dihantar hanya satu nama sebagai calon Perdana Menteri oleh Ahli Parlimen UMNO/BN pada 17 Ogos iaitu Datuk Seri Ismail Sabri, Ahli Parlimen Bera. Moga Allah SWT memberkati usaha kami,” kata beliau menerusi twitternya.

Sebelum ini FMT melaporkan, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut mengesahkan Ismail Sabri sebagai calon tunggal pilihan BN.

“Yes (Ismail Sabri),” kata Tajuddin kepada media.

Tajuddin berkata, Naib Presiden UMNO itu turut memperolehi sokongan kuat daripada Ahli-ahli Parlimen Bersatu dan Pas untuk membolehkannya memperolehi majoriti mudah 111 kerusi di Dewan Rakyat.

Advertisements

Perkara sama turut disahkan oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman yang berkata, Ismail Sabri memiliki beberapa kelebihan untuk memperolehi keyakinan Ahli Parlimen BN, termasuk 38 daripada UMNO sendiri.

Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri pada Julai lalu selepas menjadi menteri kanan dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berundur daripada jawatan tertinggi itu setelah hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Azalina mengesahkan MKT UMNO malam tadi memberikan kebebasan kepada Ahli Parlimen BN untuk mencalonkan sesiapa sahaja dalam kalangan mereka untuk menggantikan Muhyiddin, dalam surat akuan mereka yang perlu dihantar ke Istana Negara hari ini.

“Bagaimanapun Ahli Parlimen BN memutuskan untuk menyokong satu nama sahaja (Ismail Sabri), kata Azalina.

“Kami diberikan taklimat tadi bahawa (calon) BN akan memperolehi sokongan daripada rakan politik lain untuk memperolehi sokongan majoriti mudah 111 kerusi di Dewan Rakyat,” kata beliau.

Sebelum ini, semua Ahli Parlimen diarah menghantar surat akuan bagi menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan kepada Istana Negara

Ahli-ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya sehingga pukul 4 petang 18 Ogos untuk mengemukakan surat akuan secara bertulis tersebut. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan