26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, December 3, 2021

Siapa pilihan blok pembangkang… Anwar atau Shafie?

Mesti Baca

Lukman Ismail
Editor Edisi 9

POLEMIK pemilihan satu calon Perdana Menteri Kesembilan di pihak blok kerajaan nampaknya sudah berakhir apabila Barisan Nasional (BN) telah mencapai kata sepakat menamakan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon tunggal.

Ahli Parlimen Bera itu kini dikatakan mempunyai cukup sokongan untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatannya kelmarin, apabila turut mendapat sokongan daripada Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) termasuk Muhyiddin.

Di atas kertas, Ismail Sabri kini mempunyai 115 sokongan dengan masing-masing BN mempunyai 42 kerusi, PN (31), Pas (18), Gabungan Parti Sarawak – GPS (18), PBRS (satu), STAR (satu) dan empat kerusi Bebas.

Ini menjadikan Naib Presiden UMNO itu cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu, sekaligus memenuhi harapan parti itu kembali mengetuai kerajaan sejak tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Persoalan kini, bagaimana pula dengan blok pembangkang?

Semalam, sejurus mengadap Yang di-Pertuan Agong, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan untuk membentuk “politik baharu” sesuai dengan titah seruan Seri Paduka Baginda agar semua pihak bersatu menyelesaikan masalah negara.

Kenyataan Anwar itu membayangkan bahawa beliau mungkin bertolak ansur dengan mana-mana calon lain setelah usaha untuk mengumpul jumlah angka yang mencukupi tidak kesampaian.

Anwar yang berpuluh tahun berjuang untuk menjadi Perdana Menteri, sehingga kini masih gagal mendapatkan sokongan majoriti walaupun kerusi tersebut kosong dan siap sedia untuk diduduki.

Malangnya dalam keadaan demikian pun, Anwar masih lagi gagal untuk meraih sokongan Ahli Parlimen lain untuk mencukupkan 111 sokongan bagi membolehkannya merampas semula kerajaan dan menjadi Perdana Menteri.

Atas sebab itulah, Anwar kini terpaksa mengharapkan sokongan terutama dari Warisan yang mempunyai lapan kerusi dan Pejuang (empat) walaupun beliau terpaksa — sekali lagi — ‘menyembah‘ kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Baca juga:   Tak perlu buat ujian Covid-19 ke Langkawi mulai hari ini

Bagaimanapun, Anwar tidak mudah mendapat sokongan dari Warisan dan Pejuang memandangkan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga melihat inilah peluang beliau untuk menduduki kerusi Perdana Menteri, sekali gus mengangkat pemimpin Sabah mengetuai kerajaan.

Manakala di pihak Pejung, semua tahu bahawa Tun Mahathir tidak akan sesekali membiarkan Anwar — yang mempunyai sejarah panjang bersama beliau — dipilih sebagai Perdana Menteri.

Dalam hal ini, Shafie akan menawarkan kepada PH untuk bersatu atas nama “politik baharu” dengan syarat mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri.

Baca juga:   Tindakan Mahathir bukti Anwar hilang pengaruh dalam PH?

Meletakkan Shafie dan bukannya Anwar membuka peluang PH kembali menjadi kerajaan selepas dirampas oleh ‘Sheraton Move’ yang menyaksikan parti itu hanya mampu memerintah selama 22 bulan selepas menang PRU-14 lalu.

Di atas kertas, setakat ini Anwar hanya mampu mengumpulkan 93 Ahli Parlimen untuk menyokongnya dan beliau mengharapkan Warisan dan Pejuang bersama untuk menjadikan jumlah 104 sokongan.

Jika demikian, mereka memerlukan sekurang-kurang tujuh Ahli Parlimen lagi untuk mendapat majoriti dan ini agak sukar sekiranya Warisan dan Pejuang berkeras untuk menolak Anwar sebagai Perdana Menteri.

Justeru, menjelang pukul 4 petang ini sebagai waktu terakhir bagi Ahli-ahli Parlimen menyerahkan surat akuan (SD) calon Perdana Menteri yang mereka percayai, blok pembangkang masih lagi sibuk berunding antara Anwar dan Shafie, siapa yang patut mereka namakan.

PH kini dalam dilema, sama ada perlu mengorbankan cita-cita dan maruah Anwar dengan mencalonkan Shafie sebagai Perdana Menteri demi untuk kembali menjadi kerajaan, atau tetap menamakan Anwar walaupun tidak mendapat sokongan daripada Warisan dan Pejuang.

Walau apapun selepas ini segala keputusan di tangan Seri Paduka Baginda yang akan memutuskan Perdana Menteri Kesembilan! – Edisi 9

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini

Trend kahwin lewat, kes cerai menurun antara perkongsian DOSM

JABATAN Perangkaan Malaysia (DOSM) berkongsikan maklumat penduduk di negara ini kini mula berkahwin pada usia lewat 20-an berbanding awal...

Lagi Artikel Berkaitan