29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tahniah Azizulhasni, usah patah semangat Shah! – Muhyiddin

Mesti Baca

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berterima kasih kepada pelumba negara, Datuk Azizulhasni Awang kerana berjaya mengibarkan Jalur Gemilang di Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, kejayaan tersebut tentunya menambahkan keceriaan kontinjen negara sebelum temasya sukan tersohor ini melabuhkan tirainya.

Muhyiddin turut memberikan kata-kata semangat kepada seorang lagi pelumba keirin negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang mara ke suku akhir acara tersebut biarpun tercedera selepas terjatuh di peringkat saringan semalam.

Berikut kenyataan penuh Perdana Menteri.

Tahniah buat jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang kerana menghadiahkan pingat perak buat Malaysia menerusi acara Keirin basikal trek, Sukan Olimpik Tokyo, sebentar tadi.

Kejayaan ini tentunya menambahkan keceriaan buat kontinjen negara sebelum temasya sukan tersohor ini melabuhkan tirainya.

Biar apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip di pentas sukan terbesar ini tentunya memberi makna cukup signifikan buat anda dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan.

Advertisements

Seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang anda tunjukkan.

Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi.

Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini. Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara.

Syabas juga kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican, barisan kejurulatihan dan seluruh kontinjen Malaysia atas kejayaan ini.

Kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula, saya ingin katakan yang kegagalan mengiringi Azizulhasni ke peringkat akhir tidak seharusnya mematahkan semangat anda.

Iltizam dan semangat ‘Demi Malaysia’ yang dipamerkan apabila sanggup mengetepikan kesakitan yang dialami semasa di peringkat saringan dan suku akhir dengan sendirinya membuktikan anda adalah wira yang perlu disanjungi. Terima kasih Shah Firdaus.

Tahniah Azizulhasni!
Syabas Shah Firdaus!

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan