28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pingat perak Azizulhasni akhiri perjuangan negara di Tokyo

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pelumba negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menjelmakan pingat perak buat kontinjen negara pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu, hari ini.

Walaupun gagal menjelmakan emas Olimpik pertama untuk negara, namun pencapaian pingat perak sudah membanggakan kerana beliau berjaya memperbaiki gangsa yang dipungut di Rio 2016 lalu.

Dalam saingan peringkat akhir yang penuh dramatik, penyandang juara Jason Kenny dari Britain mempamerkan kayuhan luar biasa sejak di peringkat awal lagi untuk terus menguasai perlumbaan sehingga ke akhir bagi mengekalkan kejuaraannya.

Azizulhasni, 33, melintasi garis penamat untuk pingat perak, sekali gus meleburkan harapannya memenangi pingat emas Olimpik pertama bagi Malaysia, manakala pelumba Belanda Harrie Lavreysen yang merangkul pingat emas dalam acara pecut lelaki, meraih pingat gangsa.

Dikenali dengan gelaran The Pocket Rocketman yang disandarkan harapan untuk meraih pingat emas, Azizulhasni memenangi pingat Olimpik pertamanya pada Olimpik Rio 2016 dengan pingat gangsa dalam acara keirin, selepas gagal melayakkan ke peringkat akhir Olimpik Beijing 2008, dan menduduki tempat keenam dalam Olimpik London 2012.

Kejayaan Kenny menyaksikan dominasi Britain dalam acara keirin lelaki berterusan sejak Olimpik Beijing 2008 lagi.

Sementara itu, Azizulhasni dihujani ucapan tahniah dan terima kasih oleh rakyat Malaysia menerusi media-media sosial sejurus tamat perlumbaan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berterima kasih kepada pelumba yang mesra dipanggil Jijoe itu atas kesungguhannya dalam pusingan terakhir acara tersebut.

Kata beliau, dengan aksi Azizulhasni tadi maka berakhirlah misi kontinjen negara di temasya tersebut yang akan melabuhkan tirainya malam ini.

“Walaupun kita tidak ada rezeki pingat emas pada temasya sukan Olimpik kali ini, pingat perak Jijoe ini tidak ternilai harganya.

“Atlet kita telah bertarung bukan sahaja dalam acara sukan masing-masing, tetapi mereka terpaksa menempuh pelbagai cabaran dalam pandemik ini,” katanya menerusi ciapan di twitternya.

Dalam temasya Olimpik Tokyo 2020, kontinjen negara membawa pulang satu pingat perak menerusi Azizulhasni dan satu pingat gangsa oleh pasangan beregu lelaki, Aaron Chin-Soh Wooi Yit. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan