32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Syed Saddiq mengaku tidak bersalah 2 pertuduhan AMLA

Mesti Baca

JOHOR BAHRU – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) berjumlah RM100,000 di Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini.

Memetik laporan BH Online, Syed Saddiq, 29 membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan itu, Ahli Parlimen Muar tersebut didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling di sini pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Beliau didakwa melakukan kesalahan terbabit mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Sabit setiap kesalahan, bagi dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Advertisements

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib dan Mohd ‘Afif Ali, manakala Syed Saddiq diwakili peguam bela, Gobind Singh Deo.

Berikutan pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh, mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan disekalikan dengan jaminan bagi dua pertuduhan yang diputuskan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini.

Mahkamah juga membenarkan dua pertuduhan hari ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibaca bersama dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini, pada 10 September depan.

Pada 22 Julai lalu, Syed Saddiq yang juga Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik (MUDA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pecah amanah dana ARMADA berjumlah RM1 juta pada tahun lalu.

Selain itu, beliau berhadapan tuduhan menyalah guna harta iaitu wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebanyak RM120,000.

Namun, Syed Saddiq mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua tuduhan itu yang dibacakan berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan