28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dijangka mula 2022

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dijangka melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) pada tahun 2022.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, langkah itu susulan Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada 14 Julai 2021 telah bersetuju supaya suri rumah diberikan perlindungan keselamatan sosial.

Menurut beliau, skim keselamatan sosial tersebut menyediakan perlindungan terhadap bencana domestik seperti kemalangan, penyakit ataupun kematian, dibuka kepada semua suri rumah yang dianggarkan seramai 2.99 juta orang.

“Seramai 150,000 suri rumah dari isi rumah miskin dan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) akan dilindungi oleh kerajaan, manakala bagi suri rumah yang lain, penyertaan adalah secara sukarela.

“Pelaksanaan SKSSR wajar dijadikan agenda keselamatan sosial sebagai penggantian produktiviti kepada golongan suri rumah yang tidak mempunyai apa-apa perlindungan sekiranya mereka terlibat dalam bencana domestik atau mengalami keilatan yang mana sumbangan mereka mempunyai nilai ekonomi dalam pembangunan institusi kekeluargaan, ataupun the Care Economy,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan KSM, hari ini.

Saravanan menambah, perlindungan keselamatan sosial adalah perlu bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan suri rumah memandangkan fungsi dan tugas mereka amat penting dalam institusi kekeluargaan dan pembangunan negara.

“Apatah lagi dengan pandemik COVID-19 yang membuatkan peranan dan tanggungjawab mereka semakin mencabar dengan amalan norma baharu seperti bekerja dari rumah (BDR) dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” jelasnya lagi.

Beliau memberitahu, buat masa ini, draf Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah sedang diperhalusi bersama oleh KSM dan Jabatan Peguam Negara sebelum mendapat kelulusan Jemaah Menteri untuk pembentangan di Parlimen dalam masa terdekat. – EDISI 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan