26 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Tengku Azlan kembali ke pangkuan UMNO

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KUALA LUMPUR – Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Bersatu Temerloh untuk kembali ke pangkuan UMNO.

Beliau yang mesra dipanggil Ku Lan menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Menteri Besar Pahang yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini hari ini.

Tengku Azlan berkata, beliau membuat keputusan untuk kembali  ke pangkuan UMNO kerana yakin dan percaya hanya parti itu yang menjadi tunjang perjuangan orang Melayu dan Islam.

“Dalam masa sama, saya menyokong penuh pendirian Wan Rosdy selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang dalam isu Perlembagaan baru-baru ini yang mana telah menimbulkan kesan dalam kalangan rakyat.

“Sebagai rakyat Malaysia kita mesti mempertahankan Perlembagaan negara tanpa mengira fahaman politik.

“Kita seharusnya mendukung Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan berdasarkan apa yang termaktub dalam Rukun Negara. Sesungguhnya Perlembagaan Negara adalah sebuah institusi tertinggi dalam negara kita,” katanya di sini.

Hadir sama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sementara itu, Wan Rosdy menganggap kemasukan semula Tengku Azlan ke pangkuan UMNO ibarat suntikan dos kedua COVID-19 kepada pemimpin dan ahli-ahli parti.

“Kemasukan semula ini sangat kena pada masa dan tempatnya iaitu ketika UMNO dengan lebih tiga juta anggota seluruh negara, diduga cabaran besar berkaitan ketidaksama pandangan dan haluan dalam kalangan segelintir pemimpin berkaitan sokongan terhadap Kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Katanya, peristiwa hari ini hanya selepas tidak lebih tiga tahun Tengku Azlan meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai Bersatu pada 2018.

“Sehubungan itu, patik menyanjung tinggi serta mengalu-alukan kemasukan semula Yang Amat Mulia Tengku Tan Sri ke dalam UMNO. Bak kata pepatah Melayu, ‘kecil tapak tangan, nyiru patik tadahkan’,” katanya.

Tengku Azlan merupakan ayahanda saudara kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Jerantut selama tiga penggal dari 1999 hingga 2013 dan Timbalan Menteri Pengangkutan dari 2004 hingga 2008. – Edisi 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan