33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

PM, pembangkang capai kata sepakat berhubung beberapa isu

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan dan pihak pembangkang telah mencapai kata sepakat berhubung beberapa isu termasuk soal badan kehakiman dan Parlimen.

Perdana Menteri berkata, ia hasil pertemuan beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua pihak bersetuju untuk menumpukan kepada agenda kepentingan rakyat dengan mencari titik persamaan terbaik menangani krisis pandemik COVID-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan hilang pekerjaan dan pendapatan.

“Persetujuan bersama turut dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

“Saya bersama pemimpin-pemimpin pembangkang juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama di sini hari ini. Pertemuan yang dianggap satu pembaharuan dalam politik tanah air itu berlangsung lebih sejam di pejabat Perdana Menteri di sini.

Perdana Menteri berkata, pertemuan itu sebagai menjunjung kasih atas nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi meredakan suhu politik dalam negara.

Ismail Sabri dalam ucapan pertamanya sehari selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Kesembilan berkata, kemelut politik yang melanda negara telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan termasuk mewujudkan kerjasama rentas parti.

Dalam sidang media di Sungai Petani Isnin lalu, Perdana Menteri menjelaskan pihaknya tidak bercadang untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bersama parti pembangkang.

Sebaliknya mereka dipelawa menyatakan pandangan untuk membantu kerajaan dengan menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan