34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

PKPD 14 lokaliti seluruh negara, 14 hari mulai lusa

Mesti Baca

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di 14 lokaliti seluruh negara selama 14 hari mulai 9 Ogos ini.

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, 14 lokaliti terbabit merangkumi sembilan di Sabah dan empat di Pahang.

“Di Sabah, empat lokaliti PKPD di Tawau membabitkan Taman Semarak Indah, Taman Semarak Jaya, Flat Sri Semarak dan Taman Sejati manakala dua lokaliti di Penampang pula Kampung Koidupan dan Kampung Guunsing-Novunsu.

“Lokaliti lain di Sabah yang akan dikenakan PKPD adalah di Kampung Marau, Sipitang; Kampung Baru Kimanis, Papar dan Kampung Tanjong Kapor, Kudat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, di Pahang pula, PKPD akan dilaksanakan di dua lokaliti di Maran iaitu di FELDA Jengka 18 dan Kampung Paya Besar Kertau; Kampung Orang Asli Sungai Bot dekat Karak di Bentong; FELDA Sungai Panching Selatan, Kuantan dan satu lagi di Jalan Feri Lama, Teluk Gading, Rompin.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin turut mengumumkan penamatan PKPD di 10 lokaliti di Perak, Pahang, Kedah dan Sabah yang akan berkuat kuasa esok, seperti yang dijadualkan.

“Penamatan PKPD esok (8 Ogos) membabitkan Medan Klebang Restu, Mukim Chemor, Kinta, Perak; Blok 5, FELDA Keratong 7, Muadzam Shah, Pahang serta Asrama Pekerja dan Tapak Bina Hospital Pendang, Kedah.

Advertisements

“Di Sabah, lokaliti terbabit adalah Kampung Lajau dan Kampung Kota Klias di Beaufort; Kampung Tungkang, Kudat;Perumahan Ladang Kim Loong, Beluran dan Kampung Telisai, Tungku di Lahad Datu,” jelasnya.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, beliau memberitahu, seramai 261 individu dikompaun kerana masih ingkar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) membendung penularan wabak pandemik COVID-19 semalam.

Hishammuddin menambah, seramai 21 individu turut direman kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan.

“Sebanyak 112 premis juga diarah tutup serta-merta kerana gagal mematuhi SOP,” katanya.

“Semalam, Pasukan Task Force Pematuhan dengan kekuatan 18,712 anggota yang melaksanakan 83,682 pemeriksaan dan snap check COVID-19 bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan SOP di seluruh negara.

Beliau berkata, pasukan keselamatan merampas tiga kenderaan darat dalam Op Benteng semalam namun tiada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditangkap. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan