24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Pembukaan sektor pelancongan beri sinar kepada industri

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Pembukaan sektor pelancongan domestik yang dibuat secara berperingkat mengikut Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat memberi sinar buat penggiat industri pelancongan selaras dengan Pelan Pemulihan Pelancongan yang telah digariskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, MOTAC melihat ianya merupakan satu langkah awal yang dapat memberikan kelegaan buat pihak industri yang telah lama terjejas berikutan penutupan sektor tersebut sebelum ini.

“Penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, di atas pengumuman khas berhubung kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

“Berdasarkan pengumuman tersebut, ianya dapat memberi manfaat kepada penggiat industri pelancongan yang berada dalam negeri-negeri yang telah beralih kepada Fasa 2 dan seterusnya.

“Sesungguhnya kelonggaran yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat memberikan suntikan semangat kepada semua pihak yang terlibat bagi merancakkan semula sektor pelancongan, seni dan budaya di negara ini.

NANCY SHUKRI

“Secara tidak langsung ianya juga dapat meningkatkan keyakinan masyarakat yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk menyokong aktiviti pelancongan domestik,” katanya menerusi kenyataan media di sini.

Advertisements

Berikutan dengan itu katanya, MOTAC yakin dan percaya bahawa pihak kerajaan akan sentiasa memikirkan kaedah dan cara yang terbaik bagi memulihkan keseluruhan aktiviti pelancongan termasuklah juga aktiviti keseniaan dan kebudayaan yang akan dipertimbangkan untuk dibuka secara berperingkat dengan persediaan rapi.

“Bersamalah kita memanfaatkan kemudahan yang diberikan ini dengan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“MOTAC menyeru kepada orang ramai yang akan memulakan aktiviti pelancongan di kawasan yang dibenarkan agar melanconglah dengan selamat,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri berkata, kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan bagi negeri-negeri Fasa 2 PPN namun hanya untuk negeri yang sama.

“Pengusaha homestay dan hotel perlu pastikan mereka yang ingin memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,” jelasnya. – Edisi 9

Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan