32 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Lautan bergelora, kenapa kapal di darat pula yang karam?

Mesti Baca

PETANG ini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan mengadakan mesyuarat tergempar yang menurut Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi memperhalusi pendirian dan tindakan parti untuk mendepani situasi politik semasa.

Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas, namun ramai yang boleh menduga agenda utama yang akan dibincangkan sudah tentu berkaitan ahli-ahli Parlimen yang terus menerus memberikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Pada hari Istana Negara mengeluarkan kenyataan media berhubung rasa dukacita Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung pembatalan Ordinan Darurat yang dikatakan dibuat tanpa perkenan baginda, situasi politik negara agak panas.

Panas disebabkan provokasi oleh pihak pembangkang yang menggunakan isu tersebut untuk menekan kerajaan dan mendesak Muhyiddin melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Provokasi melampau ahli-ahli Parlimen pembangkang menenggelamkan isu pandemik Covid-10 dan ekonomi yang sepatutnya menjadi agenda utama perbincangan sepanjang lima hari Sidang Khas Dewan Rakyat tempoh hari.

Lebih menghairankan, situasi itu turut ditangguk oleh Zahid dan kumpulan ‘kluster mahkamah’ dalam UMNO yang mendesak Muhyiddin melepaskan jawatannya secara terhormat. Walhal UMNO sebahagian daripada kerajaan hari ini.

Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak – Sumber: Carian internet

Zahid juga terus mendesak ahli-ahli Parlimen UMNO menghentikan sokongan terhadap Muhyiddin dengan menggunakan keputusan MKT pada 7 Julai lalu.

Malangnya, seruan Zahid langsung tidak diendahkan oleh ahli-ahli Parlimen UMNO diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri malah mereka bersama-sama bersatu hati menolak seruan Presiden mereka, sebaliknya menyatakan sokongan kepada Muhyiddin untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Nyata, tindakan ahli-ahli Parlimen terbabit benar-benar menampakkan Zahid tidak mempunyai wibawa untuk memimpin sebuah parti keramat seperti UMNO sehingga mereka gagal mempengaruhi ahlinya sendiri.

Justeru, mesyuarat khas MKT UMNO hari ini sudah tentu tidak terlepas daripada membincangkan isu berkenaan. Nasib 30 ahli Parlimen UMNO yang dikatakan menandatangani surat akuan menyokong Muhyiddin sudah tentu menjadi agenda utama.

Persoalannya, apa lagi sebetulnya UMNO mahu? Jika isu berkaitan hubungan Istana Negara dan Putrajaya, rasaya itu bukannya isu melibatkan UMNO? Kenapa UMNO pula lebih sudu dari kuah?

Bukankah kerajaan hari ini bukan kerajaan UMNO sepertimana sering dicanang oleh Zahid dan kumpulan ‘kluster mahkamah’? Jadi biarkanlah Muhyiddin selaku Perdana Menteri menyelesaikan isu berkenaan. Kenapa pula UMNO yang panas?

UMNO janganlah jadi seperti ‘lautan yang bergelora, kapal di darat pula yang karam’. Adalah lebih baik UMNO terus bersama-sama membantu menumpukan isu rakyat dan ekonomi ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 ini.

Lagipun, menteri-menteri UMNO telah diberi kepercayaan oleh Muhyiddin untuk mengetuai pasukan menangani isu Covid-19 dengan Ismail Sabri sebagai ‘generalnya’ bersama Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Adham Baba.

Dan mereka telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan cemerlang sesuai dengan pengalaman yang mereka miliki dalam Kabinet kerajaan di bawah pimpinan UMNO sebelum ini.

Jadi apa lagi sebetulnya Zahid dan konco-konconya mahu? Mendesak mereka meletakkan jawatan? Kemudian, apa lagi UMNO mahukan?

Mahu Muhyiddin melepaskan jawatannya secara terhormat dan mengharapkan seorang pemimpin UMNO menggantikan beliau dan sekaligus membolehkan UMNO mengetuai semula kerajaan?

Sudah-sudahlah UMNO khususnya ‘kluster mahkamah’ ini bermain politik dengan terus menerus mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan dan mahukan ahli-ahli Parlimen UMNO menarik sokongan mereka.

Janganlah diusik menteri-menteri UMNO yang sedang bertungkus-lumus bekerja siang dan malam untuk membantu rakyat menghadapi Covid-19 ini.

Tunggulah apabila masalah Covid-19 ini berakhir, kadar imunisasi sudah mencapai imuniti kelompok dan jumlah yang dirawat di ICU hospital-hospital seluruh negara mulai surut.

Ketika itu berpolitiklah siang dan malam tiada siapa peduli!

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan