29.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

MKT UMNO adakan mesyuarat tergempar esok

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan mengadakan mesyuarat khas secara dalam talian esok bagi memperhalusi pendirian dan tindakan parti untuk mendepani situasi politik semasa.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO amat prihatin dengan isu-isu semasa yang berlaku terutamanya menyentuh krisis hubungan antara istana dan kerajaan.

“UMNO amat prihatin dengan isu-isu semasa yang berlaku terutamanya menyentuh krisis hubungan antara istana dan kerajaan, pencabulan terhadap kedaulatan institusi raja, keluhuran perlembagaan dan pemandulan terhadap amalan demokrasi berparlimen,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sebelum itu, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, antara isu yang akan dibincangkan ialah berkaitan kenyataan media oleh Istana Negara dan warkah Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mesyuarat Khas MKT UMNO secara online akan diadakan 4 petang esok 3 Ogos 2021.

“Tentu mesyuarat tergempar ini untuk membincangkan isu politik terkini. Antaranya hal kenyataan media Istana Negara dan warkah Yang di-Pertuan Agong (kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin).

“Juga isu Darurat, ordinannya dan penangguhan sidang Parlimen hari ini,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Pada 29 Julai, sidang Parlimen kecoh berikutan kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan berhubung rasa dukacita Yang di-Peruan Agong terhadap kerajaan berhubung pengumuman pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat tanpa mendapat perkenan Seri Paduka Baginda terlebih dahulu.

Ekoran itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak hadir di Parlimen kerana menjalani kuarantin kendiri mengeluarkan kenyataan mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan secara terhormat.

Pada masa yang sama Zahid turut menyeru semua Ahli Parlimen UMNO menamatkan sokongan mereka terhadap Muhyiddin seperti mana ditetapkan oleh Majlis Tertinggi UMNO pada 7 Julai.

Namun pada hari yang sama Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan bahawa 40 Ahli Parlimen BN termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan PN.

Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Sahfri Ab Aziz kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa koalisi itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan media tersebut selain menjelaskan perkara itu menjadi isu kerana penggunaan kepala surat BN.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesahkan surat yang dikeluarkan Ismail Sabri dan ia hasil pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen terbabit di Tingkat 5 Parlimen.

Malam tadi, seramai 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dalam satu pertemuan sulit di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, telah menandatangani surat akuan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan kerajaan PN.

Untuk rekod, BN mempunyai 41 kerusi di Parlimen dengan 38 kerusi adalah mewakili UMNO, dua oleh MCA manakala satu kerusi milik MIC. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan