CYBERJAYA – Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengekalkan sebahagian besar anggota Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sebagai kesinambungan tadbir urus sebelum ini.
Pensyarah Geostrategik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, kesinambungan itu penting bagi memastikan dasar-dasar sedia ada dalam menangani pandemik Covid-19 dan masalah ekonomi dapat diteruskan dengan lancar.
“Kita faham kenapa 80 peratus hingga 90 peratus menteri Kabinet lama dikekalkan kerana selain daripada tekanan politik dalaman, Perdana Menteri mahu memastikan kesinambungan dasar sebelum ini dapat diteruskan dengan lancar.
“Perdana Menteri tidak mahu pelaksanaan dasar-dasar tersebut terhenti atau adanya perubahan drastik dalam menangani pandemik dan masalah ekonomi,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.
Beliau mengulas pengumuman barisan Kabinet sepertimana diumumkan oleh Ismail Sabri hari ini.
Azmi berkata, beliau percaya, manifestasi Perdana Menteri adalah mahu melihat para menteri yang dilantik bekerja dengan cemerlang demi rakyat dan Keluarga Malaysia.
Atas sebab itulah katanya, beliau menetapkan semua kementerian mempunyai KPI yang perlu dicapai dalam tempoh 100 hari selepas dilantik dan dapay dinilai hala tuju mereka.
Mengenai tiada pelantikan timbalan perdana menteri, Azmi percaya ia adalah langkah terbaik buat masa ini memandangkan isu jawatan nombor dua itu boleh memberi polemik yang besar dalam senario politik negara hari ini.
“Dengan tiadanya jawatan timbalan perdana menteri maka beliau berjaya mengurangkan tekanan politik dalaman kerana isu jawatan itu boleh memberi polemik yang besar,” katanya.
Berhubung pertukaran portfolio antara Khairy Jamaluddin dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ke Kementerian Kesihatan (KKM), Azmi berkata ia adalah langkah yang baik.
Ini kerana KKM merupakan kementerian yang bertanggungjawab 100 peratus dalam menangani dan menggubal dasar-dasar strategik berkaitan pandemik COVID-19 dan Khairy telah melakukan tugasnya dengan baik semasa di MOSTI.
Katanya, pertukaran Khairy yang sebelum ini juga menjadi Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) itu juga diharap dapat mengatasi masalah pertindihan tugas menteri dan kementerian dalam menangani wabak tersebut.
“Tidak penting soal Khairy tiada pengalaman dalam perubatan kerana itu bukan isu kritikal. Yang kritikalnya sejauh mana beliau mampu menguruskan sesebuah kementerian dan setakat ini Khairy telah membuktikan beliau dapat melaksanakan tugas yang diberi dengan baik,” katanya. – Edisi 9