29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

‘Geng 15’ UMNO jangan duk lebih sudu dari kuah

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh AZIZI SALIM

NAMPAKNYA UMNO kembali berkepak sejak Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Hari-hari canang terutama Presiden konon berjaya mengangkat semula parti itu kembali menerajui kerajaan setelah tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Padahal masa nak pilih nama calon Perdana Menteri, mereka juga yang main tarik tali sekejap nak namakan Tengku Razaleigh (Ku Li), sekejap Najib sekejap Zahid.

Nak namakan Ismail Sabri sebagai calon tunggal pun khabarnya sampai macam nak berperang dalam mesyuarat.

Sebab apa? Konon Ismail sebelum ini ‘menderhaka’ kepada parti. Langgar keputusan MT dan enggan dengar cakap presiden.

Yelah, Naib Presiden itulah yang mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepimpinan Muhyiddin Yassin sebab berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) juga.

Geng 15 diketuai Zahidlah yang menjadi punca kerajaan PN hilang majoriti dan Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan.

Tapi orang tua itu berjiwa besar. Walaupun UMNO yang menjadi punca krisis politik terbaharu sehingga memaksanya meletakkan jawatan, namun Muhyiddin jugalah yang bermati-matian mahukan Ismail Sabri dari UMNO sebagai PM-9.

Muhyiddinlah yang memujuk Abang Johari dan GPS untuk memberi sokongan kepada Ismail sebagai calon tunggal PM, beliau jugalah yang dengan bersusah payah yang memastikan semua Ahli Parlimen PN baik Bersatu, Pas, STAR dan GPS mengemukakan nama Ismail dalam SD yang dihantar ke Istana Negara. Tiada calon lain.

Sekarang sibuk pula nak namakan kerajaan sekarang sebagai ‘kerajaan BN’ walhal kalau ikut jumlah kerusi PN ada 53 (termasuk 3 bebas), BN 42 dan GPS 19. Tang mana nak kata BN ketuai kerajaan Ismail Sabri?

‘Geng 15 UMNO’ yang diketuai kluster mahkamah lupa kalau tanpa sokongan PN dan Bersatu termasuk Muhyiddin, Ismail Sabri tidak mungkin akan menjadi PM dan UMNO tak boleh bentuk kerajaan pun.

Tak taulah kalau Geng 15 diketuai Zahid ini nak bawa UMNO bekerjasama dengan Anwar dan DAP. Maklum khabarnya jajaran itu pun memang wujud, cuma tak jadi (belum jadi?) sebab keputusan PAU dan MT yang dah tetapkan ‘No Anwar No DAP’. Bimbang juga mereka.

Sekarang ini kecoh pula pasal jawatan dalam Kabinet. Geng 15 UMNO yang masa nak letak nama Ismail Sabri pun bukan main berat hati, sekarang ada hati nak tuntut jawatan dalam Kabinet.

Semua nak jadi Menteri, kalau boleh semualah. Maklum jadi menteri banyak peruntukan dapat, elaun menteri dan macam-macam kelebihan. Lagipun konon sekarang kan ‘kerajaan BN’ menteri UMNO-lah kena ramai, termasuk Timbalan Perdana Menteri.

Habis tu Ahli-ahli Parlimen PN dan GPS yang beri sokongan tak berbelah bahagi kepada Ismail tu nak letak mana? Ahli Parlimen UMNO yang menyokong beliau sebelum ini takkan nak tinggalkan?

Kalau ikut sepatutnya TPM datang dari wakil PN sebab mereka ada kerusi lebih banyak dari BN tapi sampai hari ini tak ada pula mereka bercakap soal jawatan dalam Kabinet.

Tak adalah macam Geng 15 UMNO yang mula memberi tekanan kepada Ismail Sabri nak minta orang itu, orang ini jadi menteri itu, menteri ini. Tak malu betul mereka.

Tapi Ismail Sabri tentulah bukan bodoh sampai tak nampak permainan mereka ni. Lagi pun mereka semua kawan-kawan yang dalam lama bersama dalam parti. Kenal sangat hati budi masing-masing.

Sepatutnya PM tak usah ditekankan dengan pelbagai permintaan dan biarkanlah beliau membuat keputusan atas budi bicaranya. Lagipun bukan senang nak bentuk team ‘Keluarga Malaysia’ ni.

Apatah lagi nak cari barisan Kabinet yang boleh buat kerja dan mampu bersama-sama membawa negara keluar dari krisis kesihatan dan ekonomi.

Nak memulihkan semula berdasarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sedia ada yang akan ditambah baik dan dipertingkatkan.

Ismail Sabri bukan sahaja kena pilih pemain yang boleh bekerjasama dalam satu pasukan, tetapi yang boleh beraksi di tengah padang.

Bukannya hanya pandai bercakap di luar padang tetapi apabila beraksi menjadi beban kepada pasukan. Kena ingat tu!

  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan