26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Dermasiswa UPSI bantu Nazmi lanjut pengajian

Mesti Baca

BATU PAHAT – Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohamad Nazmi Mohd Najid terharu apabila Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menawarkan dermasiswa menerusi Pusat Wakaf Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS).

Lebih istimewa lagi, dermasiswa berjumlah RM23,574 itu disampaikan sendiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di rumah keluarga Mohamad Nazmi di Kampung Parit Samak, Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.

Noraini turut melahirkan kebanggaan dengan inisiatif yang sangat baik oleh UPSI untuk menzahirkan impian Mohamad Nazmi melanjutkan pengajian.

“Saya berharap Mohamad Nazmi akan belajar dengan tekun dan rajin demi membela nasib keluarga dan kecemerlangan masa depannya,” katanya.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Puan Sri Rohani Parkash Abdullah; Pengarah Unit Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin; Pengarah WEZAS, Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril.

Mohamad Nazmi yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2020, berdepan dengan masalah kewangan untuk melanjutkan pengajian di UPSI berikutan bapanya menghadapi masalah kesihatan.

Dia berhasrat melanjutkan pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak di Fakulti Pembangunan Manusia pada 9 Ogos ini.

Sementara itu, Mohd Abdul Nasir berkata, WEZAS sentiasa mengenal pasti pelajar UPSI yang tidak bernasib baik atau calon yang berjaya memasuki universiti tetapi menghadapi masalah kewangan.

“Kami mengalu-alukan sumbangan pihak korporat untuk memberi sumbangan berbentuk zakat perniagaan dan ia dapat dimanfaatkan untuk mereka yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Nazmi berazam untuk belajar sehingga berjaya menamatkan kejayaan dan tidak akan menghampakan harapan kedua ibu bapanya.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas keprihatinan pihak UPSI yang bersimpati terhadap saya dan keluarga,” katanya.

Selepas menyampaikan dermasiswa, mereka menziarahi dan bertemu alumni era Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Abu Bakar Jaafar, 56, yang bersara sebagai pendidik pada 1 Disember 2020.

Abu Bakar mengalami masalah otot yang menjejaskan kesihatan.

Mereka turut menziarahi alumni Masood Hashim, 71, yang bersara pada 2006.

Rohani berkata, sempena sambutan 100 tahun, UPSI menjejaki alumni menerusi program ziarah sebagai tanda ingatan dan mengenang jasa mereka dalam dunia pendidikan dan sebagai alumni.

“Universiti terharu dengan sumbangan dan komitmen alumni yang berjasa mendidik anak bangsa di seluruh negara,” jelasnya. – EDISI 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan