24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 8, 2022

18 bulan tempoh mencabar, satu penghormatan – Tengku Zafrul

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan tempoh selama hampir 18 bulan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan merupakan satu penghormatan terbesar buatnya untuk berkhidmat kepada negara.

Beliau berkata, tempoh hampir 18 bulan ini adalah tempoh yang amat mencabar, seperti semua negara di dunia yang terkesan dengan COVID-19, segala keputusan dan pelan yang dirancang dilaksanakan berteraskan usaha menyelamatkan nyawa, mata pencarian rakyat dan ekonomi.

“Namun keadaan politik yang tidak stabil dan ruang kewangan negara yang terhad, sekaligus menyukarkan lagi tugas yang memang sudah mencabar dalam mengimbangi keselamatan nyawa, mata pencarian rakyat serta membantu ekonomi bertahan.

“Tetapi dalam buat sebarang keputusan agenda yang paling utama bagi saya dan #teammof adalah mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam laman Facebooknya di sini.

Dalam ucapannya itu, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada warga Kementerian Kewangan (MoF) yang bekerja keras dalam membantu rakyat.

Tengku Zafrul ketika mengangkat sumpah di Istana Negara selepas dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 9 Mac tahun lalu.

“Sebagai seorang yang sebelum ini datang dari latar belakang korporat, saya benar-benar kagum dengan melihat kesungguhan para penjawat awam dalam melaksanakan amanah negara, bertugas tidak mengira hari dan waktu.

“Malah, ramai yang sering terpaksa bermalam di pejabat melaksanakan semua urusan mentadbir urusan kewangan negara lebih-lebih lagi masa yang amat mencabar ini,”katanya.

Tengku Zafrul telah dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 9 Mac tahun lalu, bagaimanapun meletak jawatan bersama anggota kabinet yang lain pada Isnin lalu, susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 negara.

Baca juga:   Malaysia dijangka capai 100 peratus vaksinasi akhir Oktober
Baca juga:   Peningkatan vaksinasi dorong pertumbuhan ekonomi

Bekas Menteri Kewangan itu berharap episod ini akan membuka lembaran baru ke arah pentadbiran Malaysia yang lebih stabil agar fokus dapat diberikan 100 peratus kepada usaha untuk menangani cabaran COVID-19.

Dalam pada itu, beliau juga berharap tahap ketulusan tertinggi dalam merangka polisi dan pakej-pakej serta belanjawan diteruskan selepas ini.

“Ketulusan  juga kita gabungkan dengan semangat inklusif kesepakatan dengan membuka pintu kepada ramai pihak awam dan pihak pembangkang untuk bertemu berbincang tentang dasar dan pelaksanaan.

“Tidak pernah sebelum ini begitu ramai wakil pembangkang melangkah masuk ke MoF berkongsi pandangan mereka kepada kerajaan sebelum penggubalan belanjawan atau dasar utama seperti Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Saya berharap dasar dan momentum pemulihan ekonomi yang tercipta dapat terus berjalan dengan lancar dibawah pentadbiran baharu,”katanya.

Kata Tengku Zafrul lagi, sebagai manusia biasa, kita berusaha merancang untuk memberi terbaik dan Allah S.W.T jua yang menentukan.

“Saya akui tidak sempurna, walaupun telah berusaha sebaik mungkin masih ada ruang penambahbaikan.

“Di samping itu, saya juga ingin berterima kasih kepada rakyat yang telah menyokong usaha Kementerian Kewangan sepanjang saya menggalas tugas sebagai Menteri Kewangan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi kepercayan kepada saya berada dalam kabinet beliau yang merupakan satu penghormatan tertinggi dalam kerjaya saya,” katanya.

Sepanjang menjadi Menteri Kewangan, Tengku Zafrul turut dilantik sebagai Menteri Penyelaras PPN yang bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan strategi dan bantuan serta mengambil langkah intervensi yang proaktif dan bersesuaian dengan situasi pandemik COVID-19.

Baca juga:   Kes harian kekal bawah 9,000, Sarawak masih tertinggi

Di bawah MoF, Tengku Zafrul turut bertanggungjawab untuk pelan pemulihan serta Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana).

Sepanjang tempohnya di kementerian, kerajaan telah melaksanakan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion untuk menangani krisis kesihatan sejak pandemik COVID-19 melanda negara tahun lepas.

Baca juga:   Bajet 2023: MoF komited sokong sektor peranti perubatan

Pakej rangsangan ekonomi itu ialah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN PKS (Tambahan), pakej Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (Kita Prihatin), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), Pemerkasa Tambahan serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Tengku Zafrul yang juga adalah Senator, sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd.

Beliau juga merupakan penasihat kepada Presiden Tenaga Nasional Bhd sebelum menyertai CIMB Investment Bank Bhd. – Edisi 9

Wartawan

Terkini

Terima kasih kerajaan sedia peruntukan besar untuk pendidikan

Oleh TAQIYUDDIN AMINI ABDUL SATAR SAYA mengalu-alukan peruntukan Bajet 2023 bagi Kementerian Pendidikan sebanyak RM55.6 bilion, kenaikan sebanyak RM3 bilion...

Lagi Artikel Berkaitan