33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Waspada, 40 kes Covid-19 varian Delta dikesan di Malaysia

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Sebanyak 40 kes jangkitan Covid-19 varian Delta dikesan di negara ini hasil penjujukan genom yang dijalankan setakat 30 Jun lalu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, varian Delta merupakan jenis virus Covid-19 yang cepat merebak dan telah melonjakkan kes baharu di seluruh dunia.

Menurut KKM, pihaknya akan memulakan penjujukan genom varian Covid-19 secara konsortium bulan ini dengan kerjasama beberapa agensi lain.

Ini termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, universiti dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Ia antara usaha bagi mengawal penularan pantas VOC (varian of concern) dan VOI (varian of interest) di negara ini,” kata KKM menerusi Facebooknya.

Varian Delta dianggap ‘ancaman terbesar’ dan dilapor telah menular di hampir 100 negara sekali gus menjadi varian Covid-19 dominan ketika ini terutama di negara seperti United Kingdom(UK), Portugal, Afrika Selatan dan Rusia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan amaran varian Delta yang cepat merebak dan sentiasa bermutasi mengakibatkan dunia kini berada dalam tempoh bahaya.

KKM berkata, UK paling banyak kes Covid-19 varian Delta iaitu melebihi 82,000 kes diikuti India, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Singapura, Portugal dan Sepanyol.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan, daripada 40 kes varian Delta tersebut, 18 adalah kes baharu dengan Labuan merekodkan 9 kes termasuk 3 kes baharu.

Ini diikuti oleh Kuala Lumpur 8 kes termasuk 4 kes baharu manakala Negeri Sembilan merekodkan 6 kes varian Delta dengan 3 kes baharu setakat 30 Jun lalu.

Lain-lain negeri yang merekodkan kes varian tersebut ialah Johor 3 kes, Selangor, Kedah, Putrajaya, Sabah, Melaka dan Pahang masing-masing 2 kes manakala Perlis dan Pulau Pinang 1 kes.

Varian Delta (B.1.617.2) pertama kali dikesan di India akhir tahun lalu dan sehingga kini telah merebak ke 80 buah negara.

Varian ini telah mencetuskan tsunami Covid-19 di India sehingga sistem perkhidmatan kesihatan di negara itu hampir lumpuh.

Ia menjadi varian dominan di UK serta beberapa negara lain seperti Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan Indonesia.

Ia juga dikenali sebagai Super Strain kerana mempunyai kadar merebak 60 peratus lebih cepat dan membawa lebih banyak kematian. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan