27.6 C
Kuala Lumpur
Friday, December 3, 2021

Wajib patuh pendirian UMNO isu Ordinan Darurat

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Semua ahli dan pendukung setia UMNO, walau apa pun kedudukan, jawatan dan pangkat mereka dalam dan luar kerajaan, wajib akur dan patuh terhadap pendirian parti berhubung isu Ordinan Darurat.

Penegasan itu dinyatakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pendirian rasmi UMNO telah dinyatakan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin.

“Pendirian rasmi UMNO adalah keputusan kolektif parti. Ia selari dengan suara akar umbi di Perhimpunan Agung UMNO, dan telah diperhalusi dan diabsahkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi 7 Julai yang lalu.

“Susulan pencerahan dari Istana Negara kelmarin, maka bertambah kukuh lagi kebenaran pendirian parti,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

Pada 25 Julai lalu, Ahmad Zahid mengarahkan semua Ahli Parlimen dari UMNO mengusulkan agar Parlimen membahaskan dan membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya.

Baca juga:   Raja Melayu sokong Parlimen bersidang, tak perlu lanjut Darurat

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau menambah, kerajaan telah jelas membelakangkan institusi diraja, melakukan tindakan tidak berperlembagaan dan tidak berlaku benar di Parlimen yang mulia.

Beliau berpandangan, jawapan balas kerajaan terhadap kenyataan Istana Negara malam tadi pula telah mengusutkan lagi keadaan.

“Kenyataan tersebut telah menjuruskan Malaysia ke suatu krisis perlembagaan yang serius. Sikap kerajaan jelas angkuh dan tiada kesusilaan terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Semua Ahli Parlimen UMNO mesti menjarakkan diri dari terheret ke dalam krisis antara kerajaan dengan istana,” jelasnya.

Baca juga:   Kepimpinan dan penyertaan OKU menuju endemik COVID-19

Mohamad memberitahu, mereka tidak boleh berada dalam kedudukan dan pendirian yang boleh ditafsirkan sebagai menyanggah teguran istana kerana ia adalah institusi yang UMNO telah berikrar akan taat dan pertahankan.

“Justeru, saya menyeru kebijaksaan dan hikmah semua Ahli Parlimen UMNO untuk melakukan perkara yang benar dan selari dengan pendirian parti.

“Tiada apa jua alasan dapat digunakan untuk mempertahankan kerajaan yang telah dilihat nyata ingkar, culas dan gagal dalam melaksanakan titah dan nasihat Yang Di Pertuan Agong dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mohamad turut mengingatkan bahawa kesetiaan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), tidak boleh mengatasi kesetiaan kepada raja, negara dan parti.

“Pilihan wakil rakyat UMNO adalah jelas kecuali mereka memilih sebaliknya, pada saat negara dan rakyat telah hilang segala keyakinan kepada kerajaan PN.

“Saya selalu berpesan agar kita selalu bermuhasabah dan sentiasa sedar dan arif tentang asal-usul kita. Jangan hingga jadi seperti kata pepatah, diberi berkuku, hendak mencengkam,” jelasnya. – EDISI 9

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini

Trend kahwin lewat, kes cerai menurun antara perkongsian DOSM

JABATAN Perangkaan Malaysia (DOSM) berkongsikan maklumat penduduk di negara ini kini mula berkahwin pada usia lewat 20-an berbanding awal...

Lagi Artikel Berkaitan